doa

doa
amalan hidup

19 November 2012

Gaza- Sejarah Dirujuk

Gaza bermandi darah lagi
Gaza berhujan peluru lagi
Gaza berdemonstrasi seluruh pelusuk negeri lagi
Gaza jadi bual utama kafedan warung kopi sekali lagi
Gaza timbul lagi ajakan mari kita boikot barangan Israel lagi
Gaza lebih banyak umat bercakap ,rakyat Gaza maut seorang lagi.

Kataku,
Nabi Muhammad SAW sudah jelas menyampaikan kepada insan global
Al-Quran dan Hadis jelaskan sejelasnya
ulama puas mentafsirkan :
kita manusia yang mengaku umat Islam perlu menjadi umat Islam yang taat dan terbaik
barulah musuh akan gerun
barulah kita tidak diperkotak-katikkan.

Sejarah dan keterangan jelas
bahawa
Yahudi selama-lamanya musuh tegar dan keras umat Islam.

Sejarah membuktikan umat Islam menguasai dunia
apabila umat Islam berwatak sebenar seorang Islam.

Jadi,ayuh
kita perbaiki diri,menambah ilmu,memperkuat diri dan umat Islam.

Mari kita bantu Gaza sekali lagi
dengan membantu diri kita menjadi Islam yang sebenarnya .

Ujian

Gembiranya kita
melihat anak-anak berjaya
menempuh ujian bernama peperiksaan di sekolah
apatah lagi slipnya penuh dengan A+

Maka
timbullah keyakinan
anak kaya A+ ini
memang A+
segala-galanya.

Hakikatnya,
tidaklah secantik itu.

Akhirnya,
ibu bapa yang
gagal dalam ujian
yang bernama kehidupan.

Sesungguhnya, setiap kita insan
setiap waktu menempuh ujian.
Berjayalah manusia yang sedar ujian-ujian ini - susah,masalah,hebat,kaya,bijak,bahagia,derita.

18 November 2012

Ingin Belajar Dan Terus Belajar

Seusai 39 tahun
baru sedikit mengerti
belajar itu perlu
belajar itu fardu
belajar itu tiada kesudahan.

Sudah hampir 40 tahun
baru sedikit mengerti.

03 Mei 2012

Mengimbas Memori Indah - Siri 1


Bulan Mac,April dan Mei setiap tahun memang menyesakkan dada. Sibuk. Sibuk. Dan sibuk lagi. Aktiviti ko-kurikulum saling padat dan sesak. Begitu juga tahun 2012 ini.Tahun ini terlibat dengan bola sepak dan bola baling. Hasilnya,hanya bola baling lelaki bawah 18 tahun berjaya mara ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada SM Hua Lian 2-4.

Memori indah bola baling berlaku pada tahun lepas iaitu 2011. Tanpa harapan dan disangka-sangka,pasukan lelaki bola baling bawah 18 tahun SMK Dato' Wan Ahmad Rasdi berjaya meraih naib johan. Yang istimewanya,kejayaan ini terpapar dalam akhbar Sinar Harian.

Gambar yang dimuatkan dalam akhbar Sinar Harian.

24 April 2012


HARI ANUGERAH CEMERLANG INI

Samalah seperti saat ini
26 April adalah masa janji
bertemu menggapai impian
mencipta rona sejarah
memahat puncak gemilang
mencetus memori
indah nan asyik.

Hari Anugerah Cemerlang ini
medan kita medan semua
terimbau jerih payah
pelajar belajar menjadi terpelajar
membaca,menulis,menelaah,menghafal,merumus,menganalisa.
sekian kali mencuba seribu cara mengkaji
ilmu diperolehi memberi manfaat
seluruh jagat mendapat berkat.

Hari Anugerah Cemerlang ini
lapangan kita lapangan semua
guru bekerja kepalang usaha
mendidik,memimpin,menasihati,membimbing,mengajar,memahami.
senyum terukir sepanjang zaman
anak didik terasuh menurut acuan
tersohor nama membuat jasa.

Hari Anugerah Cemerlang ini
tanggungjawab kita tanggungjawab semua
ibu bapa harapan tinggi buat  anaknya
berusaha sehabis tenaga mencari rezeki
membanting,memugar,menoreh,memerah,memikul,mencurah.
Biar susah asal anakanda terus maju
Maju dan maju
Membanggakan seluruh jurai warisan.

Hari Anugerah Cemerlang ini
kejayaan kita kejayaan semua
tanda amanah sudah terlaksana.
  

21 APRIL 2012 : 9.10 PAGI.

Sajak (kalau boleh dikatakan sajak) saya karang pada 21 April khas untuk Anugerah Cemerlang SMK Dato' Wan Ahmad Rasdi pada 26 April ini. Ia akan disampaikan oleh Norazian bt Razali pelajar 3 Amanah yang saya pilih untuk menjadi pendeklamasinya. 

05 Mac 2012

Kembara Ke India : Catatan Pengalaman 2

"Jauh berjalan luas pandangan". "Masuk kandang kambing mengembek,masuk kandung kerbau menguak". Ini antara peribahasa yang ada yang menyentuh berkaitan etika apabila kita kembara ke sesuatu tempat.Teringat saya pada iklan HSBC di televisyen pada suatu masa dahulu yang menunjukkan pelbagai tingkah laku yang berbeza antara budaya sesuatu bangsa. Ada perkara yang boleh dirai oleh sesuatu bangsa menjadi pantang yang amat besar bagi sesuatu bangsa. Inilah rupa-rupanya hikmah Allah menjadikan manusia itu berlainan bangsa dan budaya supaya dengan kelainan itu menjadikan kita saling terpikat dan tertarik untuk berkomunikasi dan berinteraksi.

Begitulah yang terjadi sewaktu kembara ke India.Kelainan dan yang tidak pernah kita bayangkan apabila bertemu itulah yang membuatkan kita rasa menarik dan menjadi memori terindah atau pengalaman sekaligus pengajaran terbaik. Sepanjang berada di India,saya cukup ria melihat aliran trafik kenderaan dan juga pergerakan pengangkutan di sana. Ada keunikannya. Seolah-olah ada satu sistem tidak bertulis yang difahami oleh pemandu di sana. Seperti MOU akibat sudah faham saling budaya yang terjadi. Di New Delhi dan sepanjang jalan ke Agra dan patah balik ke New Delhi,situasi yang berlaku sama sahaja. Aliran trafik sibuk dan rencam. Juga sesak dan padat. Bagaimanapun ,perjalanan berjalan lancar. Apa yang saya lihat ,"horn" memainkan peranan penting untuk menggerakkan kenderaan dan memberikan isyarat kepada pemandu lain untuk bergerak.Masing-masing pemandu faham dan jelas dengan keadaan ini. Jadi,sepanjang masa ,lebih banyak mendengar bunyi hon dari pelbagai kenderaan. Malah,bagi kenderaan yang besar seperti lori ,jelas tertera di belakang kenderaan mereka ada tertera " Horn Please". Jadi,hon adalah nyawa pengangkutan di India. Berbeza dengan kita,jika dihon,sudah pasti timbul rasa marah atau kurang senang terhadap pemandu lain. Encik Waseem Khan,pemandu pelancong di Agra menceritakan anekdot berkaitan hon ini iaitu di India seseorang pemandu itu memerlukan 3 perkara untuk berjaya memandu di India iaitu "good horn,good brake and good luck".Sepanjang kembara,memang diakui bahawa pemandu bas pelancongan kami memang cekap memandu.
Ini gambar sebelum menaiki bas pelancongan.Selesa. Menarik.Tertarik.

Keunikan yang kedua berkaitan sistem pengangkutan di India ialah kepelbagaian kenderaan yang ada di jalan raya. Ini pemandangan yang menakjubkan sekaligus menceriakan pelancong.Namakan jenis kenderaan,semuanya berkongsi jalan raya yang sama.Basikal,motorsikal,kereta,van,lori,bas,kereta kuda,teksi "tut-tut",teksi,kereta lembu dan kereta kuda. Malah,unta pun turut bersaing menakluk jalan raya. Ada satu jalan yang ditulis lebuh raya semasa ke Agra. Ingatkan seperti lebuhraya kita .Rupa-rupanya tidak.Di jalan tersebut,semua kenderaan boleh jalan dan guna.
Teksi ala"tut-tut" dominan di jalanan.

Unta pun menjadi kenderaan di jalan-jalan di India
Kenderaan sentiasa sesak di India.

                    Satu perkara yang mencuit hati saya ialah keadaan kenderaan terutama kereta. Saya dapati tidak kira kereta baru atau lama pasti kereta tersebut ada kesan lekuk,calar,kemek dan seumpamanya. Jika di Malaysia,calar sikit sudah tentu dibawa ke bengkel.Manakan tidak, bayangkan dua lorong jalanraya boleh memuatkan 5 barisan kenderaan yang bergerak laju. Sudah pasti akan bergesel .Yang menariknya juga didapati banyak kereta tidak menggunakan cermin sisi.Cermin sisi dilipat siap-siap. Jenama kereta yang popular melalui pengamatan saya selain kereta Mahindra,Ambassador dan Tata buatan India ialah jenama Suzuki Swift dan Toyota Innova. Cukup banyak. Dapat juga dilihat perkongsian antara Mahindra dan Suzuki. Di Malaysia ,jarang-jarang dilihat Toyota Innova yang kemek,calar,dan sebagainya.

                    Nombor plat kenderaan juga berbeza.Ada dua warna iaitu kuning dan putih.Menurut maklumat ,putih untuk persendirian dan kuning untuk pelancongan. Satu hal yang menarik.Tersiratnya,India mengiktiraf dan menggalakkan pelancongan.
                                         Plat kenderaan berwarna kuning. DL-New Delhi.

                                                        Bas khas untuk pelancong

22 Februari 2012

Belajarlah dari sejarah (jangan pernah berhenti)

Sejarah sesungguhnya
bukan sekadar perakam waktu
bukan mengimbas kenangan jerih suka
bukan hanya memandang foto zaman
bukan cuma bahan bukti yang tertinggal.

Sejarah sebenarnya
guru terbaik manusia
memberi ilham,membangkitkan sedar
memupuk semangat mahu mencipta sejarah
yang muluk lagi mulia.

Sejarah
dalamnya terangkum segala
contoh,model,iktibar dan nasihat awal
buat pengamat teliti.

Sejarah
seungguhnya
mengenalkan kita
maksud ikhlas yang suci dari nifak
menonjolkan wira sebenar
yang perjuang kebenaran
mengatasi kebatilan.

Aduhai
janganlah diri ini
terlintas memungkiri sejarah.

Sejarah
biarlah menginsafkan lagi mengesankan.

Belajar dari yang mahir

Imam Syafie pernah berpesan
" Semakin kita tahu luas dan dalam sesuatu ilmu
semakin mengerti kefakiran dan kebodohan kita dalam
segala ilmu"

Sesungguhnya
Pemilik segala ilmu dan maha tahu
Hanya Allah.

Sesungguhnya
Bertahun sejak 1980
bertatih melukis abjad awan larat
mengaplikasi rumus dan kaedah
menghadam pengkhususan dalam ijazah
mengajar didik anak bangsa
baru sedar ilmu itu unik dan dapat menginsafkan.

Dulunya,
hebat dalam menghafaz dan mencipta teori
atau ubahsuai atas nama kreatif
aku sedar betapa
ilmu perlu belajar dari yang tahu.

Jika tidak,
akan kelam,hitam gelemat
serba sesat
menegakkan benang yang basah
terlontar jauh
ranap segala dalam neraka kesesatan.

Selamanya,
manusia perlu kepada
pergantungan sepenuhnya
hanya Allah
Tuhan yang satu.

Ya Allah,
permudahkan ke arah memahami
ilmu yang benar dan sebenar.

Biar sehingga akhir hayat
aku manusia kerdil
tetap menambah benar
dan menolak batil.

09 Februari 2012

Kembara Ke India : Catatan Pengalaman 1

Teruja bercampur berdebar-debar sebelum ke India. Pertamanya,ini adalah kali pertama akan menaiki kapal terbang. Keduanya,pertama kali ke luar negara. Ketiga,ingin melihat secara pasti dari dekat Taj Mahal.
Setelah pulang dari lawatan,timbul rasa puas hati,syukur dan gembira semaksimumnya.
Hasilnya,ingin sekali merakam segala catatan pengalaman sendiri di sini.

Sesuatu yang menarik...sebelum ini banyak dikhabarkan yang rakyat India ada yang mati kerana cuaca yang terlalu panas. Bagaimanapun, lawatan kami kali ini jatuh dalam cuaca sejuk dan nyaman. Cukup selesa dan menyamankan. Sebelum pergi,cikgu Basri sudah meninjau cuaca di sana yang khabarnya berada dalam 18 darjah Celcius. Walaupun keadaan sekitar New Delhi dan Agra nampak kabur dan kering,cuaca tetap sejuk.Sehinggakan pada waktu malam tidak perlu memasang kipas angin atau pendingin hawa semasa berada dalam hotel. Menurut pemandu pelancong kami Encik Jeswinder,memang bulan Januari dan Februari ramai pelancong yang datang kerana cuaca sejuk yang selesa ini.

Jadi,beruntunglah kami yang datang ke India melawat New Delhi dan Agra pada 4 Februari 2012 hingga 6 Februari 2012.

05 Januari 2012

Jeritan amarah

Inginku laung sejauh Antartika
Inginku jerkah senyaring ngauman halilintar
Inginku bakar segala yang merentangi.

Tugas kami tugas mendidik
Kami bukan hidup menternak manusia
Jadi,mengapa harus dilempar
Manusia yang silap perhitungan akhlaknya
bersumber dari guru ajar dan ajaran guru.
Bukankah segala pangkal masalah melibatkan semua?
Menterinya,Pegawainya,Masyarakatnya,Ibu bapanya dan sekalian nyonya.

Ayuh, berpakatlah menyelesaikan kemelut.
Bersama-sama.
Diulang,bersama-sama.

Jumaat Yang Mendamaikan

Jumaat tiba lagi
Masih setia mendamaikan
Aura mempesonakan

Seringkali
Seminggu berlalu
Terasa penuh dan tepu
Diasak dan terasak
Atas nama tugas alias rutin
Hingga seolah lupa diri lupa hari

Mujurlah
Jumaat tiba lagi
Beri ruang aku berfikir menginsafi kewujudan
Bahawa aku hamba
Perlu taat dan kembali kepada Yang Empunya Hak.

Sujud dan syukur
Padamu Ya Allah.

Realiti cabaran guru di sekolah biasa

 Sudah 14 tahun saya mengajar. Saya cukup suka dengan tempat saya bertugas ini. Ia hanya sekolah biasa,bukan Sekolah Berasrama Penuh,Sekolah Premier,Sekolah Kawalan ,Sekolah Kluster atau Sekolah Berprestasi Tinggi. Namun,yang paling penting,saya cukup suka dengan sekolah ini dan rasa puas dengan apa yang saya sumbangkan .

Teringat beberapa tahun dulu,sekolah tak akan dipertandingkan dari segi keputusan peperiksaan namun sehingga kini masih lagi keputusan peperiksaan dianggap segala-galanya .Melalui keputusan peperiksaan awam,dibuat ranking kedudukan sekolah dalam daerah,negeri dan kebangsaan.Keputusan yang teruk mengundang malapetaka.

Persepsi bahawa guru terbaik berada di sekolah terbaik adalah salah. Guru hanya boleh dianggap terbaikjika berjaya menimbulkan legasi budaya kerja terbaik yang mampu dilakukan walau mana lokasi beliau bertugas.
Lebih sukar dan tinggi cabaran,lebih baik.

Ingin menjadi adiwira

 Melihat dunia ada konflik
Memandang sekeliling maju dengan kemelut kronik
Aku mula jadi Edward De Bono
Jadi kanak-kanak dalam fizikal orang tua
Aku teringin jadi adiwira.

Aku ingin jadi adiwira
Sudah tentu yang terhebat
Superman menikus melihatku
Batman menggeletar mendengar namaku
Green Lantern bersara jadi adiwira
Hulk tidak lagi bertukar hijau.

Aku ingin jadi adiwira
Menangani masalah dunia
Mengurang kejadian jenayah
Membantu yang lemah selalu dizalimi.

Ya.
Aku ingin jadi adiwira.
 Aku memang adiwira
Pada angan-angan dan ilusi belaka.

Dan tahun pun bertukar rupa

Hari ini 5 Januari 2012. Sudah tahun Masihi yang baru. Usia menganjak ketua-tuaan. Harus sikap dan lagak tidak keanak-anakan lagi. Sungguh. Cukup lama saya tidak lagi menulis dalam blog ini. Tahun lepas,idea penuh melingkari minda dan perasaan,tapi kekal jadi pekasam ingatan dan akhirnya lenyap dilambung ombak masa  yang terus ke hadapan. Jadi,tahun ni nak tulis lebih banyak lagi. Sudah boleh sesuaikan diri menghadapi suasana sekeliling.Agaknya.Harap cukup mempunyai disiplin yang tinggi untuk terus menulis.Dan harus ada sifat berani untuk terus menulis.Jangan tangguh-tangguh. Betullah kata Hamka,beza seseorang itu banyak ditenukan oleh sikap berani. Sejarah banyak membuktikan hal ini. Dan kini,saya juga turut ingin membuktikan.