doa

doa
amalan hidup

05 Januari 2012

Jeritan amarah

Inginku laung sejauh Antartika
Inginku jerkah senyaring ngauman halilintar
Inginku bakar segala yang merentangi.

Tugas kami tugas mendidik
Kami bukan hidup menternak manusia
Jadi,mengapa harus dilempar
Manusia yang silap perhitungan akhlaknya
bersumber dari guru ajar dan ajaran guru.
Bukankah segala pangkal masalah melibatkan semua?
Menterinya,Pegawainya,Masyarakatnya,Ibu bapanya dan sekalian nyonya.

Ayuh, berpakatlah menyelesaikan kemelut.
Bersama-sama.
Diulang,bersama-sama.

Jumaat Yang Mendamaikan

Jumaat tiba lagi
Masih setia mendamaikan
Aura mempesonakan

Seringkali
Seminggu berlalu
Terasa penuh dan tepu
Diasak dan terasak
Atas nama tugas alias rutin
Hingga seolah lupa diri lupa hari

Mujurlah
Jumaat tiba lagi
Beri ruang aku berfikir menginsafi kewujudan
Bahawa aku hamba
Perlu taat dan kembali kepada Yang Empunya Hak.

Sujud dan syukur
Padamu Ya Allah.

Realiti cabaran guru di sekolah biasa

 Sudah 14 tahun saya mengajar. Saya cukup suka dengan tempat saya bertugas ini. Ia hanya sekolah biasa,bukan Sekolah Berasrama Penuh,Sekolah Premier,Sekolah Kawalan ,Sekolah Kluster atau Sekolah Berprestasi Tinggi. Namun,yang paling penting,saya cukup suka dengan sekolah ini dan rasa puas dengan apa yang saya sumbangkan .

Teringat beberapa tahun dulu,sekolah tak akan dipertandingkan dari segi keputusan peperiksaan namun sehingga kini masih lagi keputusan peperiksaan dianggap segala-galanya .Melalui keputusan peperiksaan awam,dibuat ranking kedudukan sekolah dalam daerah,negeri dan kebangsaan.Keputusan yang teruk mengundang malapetaka.

Persepsi bahawa guru terbaik berada di sekolah terbaik adalah salah. Guru hanya boleh dianggap terbaikjika berjaya menimbulkan legasi budaya kerja terbaik yang mampu dilakukan walau mana lokasi beliau bertugas.
Lebih sukar dan tinggi cabaran,lebih baik.

Ingin menjadi adiwira

 Melihat dunia ada konflik
Memandang sekeliling maju dengan kemelut kronik
Aku mula jadi Edward De Bono
Jadi kanak-kanak dalam fizikal orang tua
Aku teringin jadi adiwira.

Aku ingin jadi adiwira
Sudah tentu yang terhebat
Superman menikus melihatku
Batman menggeletar mendengar namaku
Green Lantern bersara jadi adiwira
Hulk tidak lagi bertukar hijau.

Aku ingin jadi adiwira
Menangani masalah dunia
Mengurang kejadian jenayah
Membantu yang lemah selalu dizalimi.

Ya.
Aku ingin jadi adiwira.
 Aku memang adiwira
Pada angan-angan dan ilusi belaka.

Dan tahun pun bertukar rupa

Hari ini 5 Januari 2012. Sudah tahun Masihi yang baru. Usia menganjak ketua-tuaan. Harus sikap dan lagak tidak keanak-anakan lagi. Sungguh. Cukup lama saya tidak lagi menulis dalam blog ini. Tahun lepas,idea penuh melingkari minda dan perasaan,tapi kekal jadi pekasam ingatan dan akhirnya lenyap dilambung ombak masa  yang terus ke hadapan. Jadi,tahun ni nak tulis lebih banyak lagi. Sudah boleh sesuaikan diri menghadapi suasana sekeliling.Agaknya.Harap cukup mempunyai disiplin yang tinggi untuk terus menulis.Dan harus ada sifat berani untuk terus menulis.Jangan tangguh-tangguh. Betullah kata Hamka,beza seseorang itu banyak ditenukan oleh sikap berani. Sejarah banyak membuktikan hal ini. Dan kini,saya juga turut ingin membuktikan.