doa

doa
amalan hidup

20 Oktober 2009

Sahabat- Sedap disebut,sukar dicari

Sajak Persahabatan – Khalil Gibran
Dan seorang remaja berkata, Bicaralah pada kami tentang Persahabatan.
Dan dia menjawab:Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih.
Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.
Kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian.
Bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.
Dan bilamana dia diam,hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan.
Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita;
Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.
Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan.
Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah cinta , tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan.
Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.
Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.
Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu?
Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.
Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan..
Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan.

Puisi di atas adalah karya Khalil Gibran.Saya cukup berminat dengan permainan dan susun atur bahasa bagi karya sastera. Terasa menusuk dan syahdu. Ia membuatkan kita terpesona dan kagum sejenak dengan keupayaan berbahasa seseorang. Bagaimanapun, apabila usia semakin menginjak dewasa,bukan kata-kata dan bahasa itu sahaja yang meninggalkan impak kepada saya. Tetapi lebih kepada bahan dan isu yang disentuh oleh sang pengkarya. Baru sedar bahawa saya turut terlibat dalam entiti hidup di bumi ini.baru sedar bahawa saya mempunyai hitam dan putih dalam kehidupan. Baru tahu di sudut hati saya bahawa saya adalah insan yang diberi akal dan kesempatan oleh Allah untuk bernafas di bumi ini menurut tatacara yang sepatutnya. Salah satunya ialah tentang persaabatan dan sahabat. Sesungguhnya, sahabat dan persahabatan amat penting untuk pembentukan seorang manusia yang mahu tumbuh sewajarnya menjadi manusia yang sepatutnya manusia. Ia merefleksikan saya bagaimana saya telah bertindakbalas terhadap insan lain supaya semua insan yang berinteraksi dengan saya menjadi sahabat. Bukan setakat kawan ,apatah lagi jika menjadi musuh. Ia menunjukkan bahawa saya masih melakukan perkara yang tidak sepatutnya apabila bersahabat dengan manusia. Jadi,apabila membaca puisi Khalil Gibran ini, saya melihat sejauhmana saya adil terhadap semua manusia yang berada di sekeliling saya. Sepatutnya saya bersahabat dengan semua. sepatutnya saya berlaku lunak kepada semua. Seharusnya,hilang rasa suka memandang rendah pada orang lain.Seharusnya juga saya tidak megah diri dan ego dengan keupayaan diri yang ada. Ya Allah, insafkan hamba-Mu yang lemah ini. Berilah petunjuk supaya saya dapat menjadi sahabat pada ramai orang,jika pun tidak boleh bersahabat dengan semua orang.
Moga saya tidak terlambat untuk mengubah diri. Jadikan saya orang yang banyak bersahabat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan