doa

doa
amalan hidup

08 Oktober 2009

realiti hidup

Cukup sukar untuk konsisten menulis rupa-rupanya. Sudah kesekian kalinya cg Basri dan cg Soffian bertanyakan bila lagi mahu menulis dalam blog. Saya menjawab akan tulis. Nanti bila datang 'mood' dan datang idea. Kesudahannya,terperap begitu sahaja. Sebab itu saya cukup hormat pada kolumnis yang mampu menulis saban hari,minggu,bulan untuk akhbar dan majalah. Sebenarnya,banyak yang ingin ditulis dan dikongsi bersama. Sudah ternampak dalam kepala,lintasan idea dan cerita yang ingin disampaikan. Namun,idea dan cerita tersebut tak pernah lengkap.
Kali ini saya suka sekali untuk sentuh tentang peperiksaan. Maklumlah sekarang ni,golongan pendidik dilingkari dengan suasana peperiksaan. Sekolah kini baru habis peperiksaan akhir tahun. 18 November 2009 bermula pula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dan 19 November ini,keluar pula keputusan UPSR. Siapa yang sesungguhnya paling berdebar? Entahlah. Pada saya,ikut lokasi kut. Kalau sekolah luar bandar macam sekolah saya, keterujaannya adalah untuk tahu keputusan tahun ini,peratusnya naik atau tidak dan siapa pelajar yang dapat keputusan terbaik. Kalau peratusan mata pelajaran yang diajar naik walaupun 0.01 peratus,hati sudah rasa tenang sebab pasti tak diceramahajar oleh nazir,ppd,jpn mahupun pihak pentadbiran sekolah kerana prestasi naik. Walau macammana guru berperanan dan berinteraksi dengan pelajar,yang akan jadi hakim utamanya ialah keputusan peperiksaan. Yang lain hilang. Sebab itu pada tanggapan umum ,guru yang mengajar sekolah yang elit lebih berwibawa,hebat dan sebagainya.Dan saya cukup tidak bersetuju dengan label yang sedemikian rupa. Pada saya,tugas guru adalah mengajar pelajar untuk belajar bukan sahaja soal akademik tetapi soal adab,akhlak dan kemampuan berfikir pelajar untuk terus menghadapi hidup dengan penuh rasa yakin . Tidak lamadahulu,5-6 tahun ,kami guru sekolah luar bandar tertawa sesama kami apabila seorang guru perempuan sekolah elit berasrama penuh menangis apabila ditugaskan untuk menjaga peperiksaan di SMK Simpang.Guru berkenaan yang ditugaskan menjaga sebuah bilik darjah menangis kerana tidak dapat mengawal kelas berkenaan. Kami ketawa kerana ini baru satu kelas dan baru satu hari berinteraksi dengan pelajar luar bandar. Kami yang setiap hari dan saban waktu ini,bagaimana pula? Sebab itu ,bagi saya, guru yang mengajar sekolah elit belum tentu hebat dan belum teruji sepenuhnya. Peperiksaan guru ini sebagai seorang guru belum lengkap. Ini kerana mereka menerima pelajar yang keupayaan otaknya adalah yang terbaik.
Bayangkan sekolah saya. Pelajar yang masuk tingkatan 1,sudah ditapis .Pelajar yang mendapat 5A ,4A dan 3A pergi ke sekolah asarama. Setelah 3 tahun,pelajar yang mendapat keputusan yang baik dalam PMR,akan minta sekolah sains ,MRSM dan sekolah teknik. Tinggal yang sisa je untuk SPM. Di sinilah peperiksaan dan ujian yang sebenar untuk guru. Pastikan pelajar mendapat yang terbaik untuk SPM.Dan rasa bangga pasti terbit apabila bertemu pelajar-pelajar ini yang masing-masing berjaya dan gemilang dalam hidup. Ada pelajar yang biasa-biasa saja ,tetapi menang dan menjadi pelajar terbaik dalam pelbagai bidang. Ada pelajar yang jadi polis dan askar,menjadi pelatih terbaik dan mewakili negeri dalam permainan seperti bola sepak.
Pada 14 November baru-baru ini, saya menghadiri jamuan akhir tahun Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber yang diadakan di hotel Legend Inn,Taiping. Semasa di luar dewan jamuan,saya disapa oleh seorang 'waiter' yang bertugas. Dengan penuh senyuman,beliau bertanyakan " salam cikgu, ingat saya". Saya memandang beliau,dan memang saya tidak ingat. Saya berterus terang yang saya tidak ingat. Beliau memberitahu nama beliau ialah Abdul Rahim,kelas sekali kembar. Lantas,memori datang kembali. Saya tersenyum. Pelajar ini pelajar tahun 2001. Kelas 5C. Kelas paling hujung.Kelas yang ramai guru enggan masuk. Kerana apa? Nakal .Buas,.Tidak. Sebenarnya,ramai yang enggan masuk ke kelas ini kerana sebahagian pelajar ini buta huruf dan kerap ponteng sekolah. Pelajar -pelajar kelas ini bagaimanapun mempunyai kemahiran yang lain iaitu mereka cekap dalam kerja-kerja pertukangan dan teknikal serta kudrat untuk melakukan kerja-kerja berat. Saya cukup tersentuh apabila pada suatu hari,ada di antara pelajar ini yang menyebut apabila hendak suruh buat kerja seperti angkat meja,kerusi,cangkul-menyangkul,dan segala macam kerja buruh,panggil kami. Tapi bila dalam perhimpunan dan sebagainya,kelas yang pandai yang dipuji. Dan saya cukup melihat senyuman yang manis pada Rahim ini. Dia tidak kekok untuk terus berbual. Dengan penuh beradab, beliau meminta izin untuk meneruskan pekerjaan beliau. Pada saya,untuk seseorang itu terus lulus dalam peperiksaan hidup sebagai manusia,bukan 8A atau 10A dalam SPM yang jadi ukuran,sebaliknya peperiksaan sentiasa melingkari kita.
Bukan hanya pelajar yang mengambil peperiksaan,tetapi semua manusia sebenarnya sentiasa dalam peperiksaan iaitu peperiksaan hidup. Siapa yang berjaya,pasti bahagia. Ini kerana yang menilai manusia dalam peperiksaan ini ialah Allah S.W.T. yang Maha Adil lagi Maha Kaya. Moga-moga saya melepasi peperiksaan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan