doa

doa
amalan hidup

29 Jun 2009

imbauan p. pinang

Saya cukup hormat dan rasa hebat kepada penulis yang mampu menulis secara tekal dan berkala. Teringat pada kata-kata pensyarah Sejarah semasa di USM iaitu Profesor Madya Abdul Rahman Ismail yang menceritakan betapa konsisten sejarawan seperti Ssu Ma Tan, Ranke, Ibn Khaldun dan Tacitus yang begitu banyak menulis dan lazim menulis setiap hari. Saya yang pergi ke Pulau Pinang pada 22 Jun 2009- 26 Jun 2009 di Hotel Copthorne,Tanjung Bungah untuk kursus Bahasa Melayu bercadang setelah pulang ke rumah untuk menulis sesuatu. Tapi. Tangguh punya tangguh. Ansur punya ansur. Hari ini baru mula boleh tulis. Memang terasa nostalgia semasa belajar di USM dari Julai 1993 hingga Jun 1998 datang melayang dan menampakkan paparan dalam skrin fikiran.Indah dan perit waktu belajar pada masa itu.
Pada 26 Jun 2009,saya solat Jumaat di masjid Al-Malik Khalid,USM. Bangunannya masih sama.Cuma keadaan sekeling terasa suasana baru. Saya berasa seolah-olah berada di negara Arab lagaknya. Manakan tidak begitu ramai warga Arab yang solat di sana. Tambahan lagi,seusai solat ,di luar berlaku urusan jual beli yang penjualnya ialah warga Arab yang menjual roti Arab,kek dan minuman malt dari Arab. USM membenarkan warga pelajar Arab ini menjual di luar perkarangan masjid.
Semasa sekolah rendah dahulu,jika mengikuti rombongan ke Pulau Pinang, tempat tumpuan utama ialah Padang Kota Lama untuk menikmati pasembor. Pada 25 Jun , bersama-sama dengan 3 orang rakan sekursus,kami ke Padang Kota Lama. Jamnya 5.30 petang. Ombak dan angin masih sama. Yang berbeza ialah gerai yang menjual pasembor. Dulu ,ada van dan berterabur gerainya. Sekarang,diinstitusikan gerai menjadi gerai konkrit berderet.Rasa pasembornya masih lagi seperti dulu.
Semasa menjadi pelajar dulu, tempat yang paling kerap saya kunjungi selain Lorong Kulit ialah Chowrasta. Bukan untuk menikmati buah palanya tetapi ingin mencari buku langka dan buku yang diminati terutama novel di kedai buku terpakai . Disinilah, saya beroleh Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Hamka, Sandera dan Eno oleh SN Arena Wati, Kamus Bahasa Melayu-Inggeris oleh Winstedt,The Godfather oleh Mario Puzo,The Crime and Punishment oleh Fyodor Dostovseky,The Old Man and the Sea oleh Hemingway,dan banyak lagi novel yang dikeluarkan oleh Teks Publishing dan Pustaka Antara. Walaupun,rakan di USM ada memberitahu bahawa di Chowrasta kini yang banyak hanya buku rujukan PMR,SPM dan STPM,saya gagah juga ke Chowrasta kerana tarikan nostalgia yang tak lagi dapat dihalang-halang. Rupa-rupanya tidak sia-sia pemergian saya kali ini. Saya beroleh buku yang lama sudah saya cari iaitu "Kalilah dan Dimnah" yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964,iaitu karya saduran yang tersohor pada zaman Abbasiah yang diambil dari India yang diceritakan oleh ahli falsafah Baidaba untuk rajanya Dabshalim.Saya telah membaca sebahagian buku ini,dan memang buku ini mempunyai nilai pengajaran yang cukup bermanfaat untuk manusia terutama untuk pemerintah dan ketua menjadi seorang yang adil dan berbudi tinggi. Selain itu,saya juga beroleh buku "Batu Belah Batu Bertangkup" oleh A. Samad Ahmad dan novel " Melor Kuala Lumpur" oleh Harun Aminurrashid serta buku "Hikayat Pelanduk Jenaka". Nikmat yang terasa tak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Datang ke Pulau Pinang pasti ingin mencari nasi kandar. Nasi kandar Line Clear sudah rasa. Nasi kandar Kampung Melayu memang sedap.Semasa belajar di USM, sudah tentu pilihan utama nasi kandar bagi pelajar di USMNasi Kandar Shariff kat Gelugor.Tanyalah pelajar USM yang kena penangan nasi kandar Shariff,mesti mengakui kesedapannya. Kali ini,sahabat saya Azizi Ibrahim,pegawai pemasaran USains bawa saya menikmati nasi beriani di Restoran Ramzan. Sedap. Cuma kini ,ada tambahan menu baru iaitu ayam piru yang harganya lebih mahal dari kambing. Kali ini saya tidak sempat untuk menikmati pasembor dan mi rebus di Pitchay dekat Sungai Nibong.
Nostalgia dan realiti.....indahnya hidup ini. Alhamdulillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan