doa

doa
amalan hidup

20 Oktober 2009

Sahabat- Sedap disebut,sukar dicari

Sajak Persahabatan – Khalil Gibran
Dan seorang remaja berkata, Bicaralah pada kami tentang Persahabatan.
Dan dia menjawab:Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih.
Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.
Kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian.
Bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.
Dan bilamana dia diam,hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan.
Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita;
Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.
Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan.
Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah cinta , tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan.
Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.
Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.
Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu?
Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.
Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan..
Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan.

Puisi di atas adalah karya Khalil Gibran.Saya cukup berminat dengan permainan dan susun atur bahasa bagi karya sastera. Terasa menusuk dan syahdu. Ia membuatkan kita terpesona dan kagum sejenak dengan keupayaan berbahasa seseorang. Bagaimanapun, apabila usia semakin menginjak dewasa,bukan kata-kata dan bahasa itu sahaja yang meninggalkan impak kepada saya. Tetapi lebih kepada bahan dan isu yang disentuh oleh sang pengkarya. Baru sedar bahawa saya turut terlibat dalam entiti hidup di bumi ini.baru sedar bahawa saya mempunyai hitam dan putih dalam kehidupan. Baru tahu di sudut hati saya bahawa saya adalah insan yang diberi akal dan kesempatan oleh Allah untuk bernafas di bumi ini menurut tatacara yang sepatutnya. Salah satunya ialah tentang persaabatan dan sahabat. Sesungguhnya, sahabat dan persahabatan amat penting untuk pembentukan seorang manusia yang mahu tumbuh sewajarnya menjadi manusia yang sepatutnya manusia. Ia merefleksikan saya bagaimana saya telah bertindakbalas terhadap insan lain supaya semua insan yang berinteraksi dengan saya menjadi sahabat. Bukan setakat kawan ,apatah lagi jika menjadi musuh. Ia menunjukkan bahawa saya masih melakukan perkara yang tidak sepatutnya apabila bersahabat dengan manusia. Jadi,apabila membaca puisi Khalil Gibran ini, saya melihat sejauhmana saya adil terhadap semua manusia yang berada di sekeliling saya. Sepatutnya saya bersahabat dengan semua. sepatutnya saya berlaku lunak kepada semua. Seharusnya,hilang rasa suka memandang rendah pada orang lain.Seharusnya juga saya tidak megah diri dan ego dengan keupayaan diri yang ada. Ya Allah, insafkan hamba-Mu yang lemah ini. Berilah petunjuk supaya saya dapat menjadi sahabat pada ramai orang,jika pun tidak boleh bersahabat dengan semua orang.
Moga saya tidak terlambat untuk mengubah diri. Jadikan saya orang yang banyak bersahabat

08 Oktober 2009

realiti hidup

Cukup sukar untuk konsisten menulis rupa-rupanya. Sudah kesekian kalinya cg Basri dan cg Soffian bertanyakan bila lagi mahu menulis dalam blog. Saya menjawab akan tulis. Nanti bila datang 'mood' dan datang idea. Kesudahannya,terperap begitu sahaja. Sebab itu saya cukup hormat pada kolumnis yang mampu menulis saban hari,minggu,bulan untuk akhbar dan majalah. Sebenarnya,banyak yang ingin ditulis dan dikongsi bersama. Sudah ternampak dalam kepala,lintasan idea dan cerita yang ingin disampaikan. Namun,idea dan cerita tersebut tak pernah lengkap.
Kali ini saya suka sekali untuk sentuh tentang peperiksaan. Maklumlah sekarang ni,golongan pendidik dilingkari dengan suasana peperiksaan. Sekolah kini baru habis peperiksaan akhir tahun. 18 November 2009 bermula pula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dan 19 November ini,keluar pula keputusan UPSR. Siapa yang sesungguhnya paling berdebar? Entahlah. Pada saya,ikut lokasi kut. Kalau sekolah luar bandar macam sekolah saya, keterujaannya adalah untuk tahu keputusan tahun ini,peratusnya naik atau tidak dan siapa pelajar yang dapat keputusan terbaik. Kalau peratusan mata pelajaran yang diajar naik walaupun 0.01 peratus,hati sudah rasa tenang sebab pasti tak diceramahajar oleh nazir,ppd,jpn mahupun pihak pentadbiran sekolah kerana prestasi naik. Walau macammana guru berperanan dan berinteraksi dengan pelajar,yang akan jadi hakim utamanya ialah keputusan peperiksaan. Yang lain hilang. Sebab itu pada tanggapan umum ,guru yang mengajar sekolah yang elit lebih berwibawa,hebat dan sebagainya.Dan saya cukup tidak bersetuju dengan label yang sedemikian rupa. Pada saya,tugas guru adalah mengajar pelajar untuk belajar bukan sahaja soal akademik tetapi soal adab,akhlak dan kemampuan berfikir pelajar untuk terus menghadapi hidup dengan penuh rasa yakin . Tidak lamadahulu,5-6 tahun ,kami guru sekolah luar bandar tertawa sesama kami apabila seorang guru perempuan sekolah elit berasrama penuh menangis apabila ditugaskan untuk menjaga peperiksaan di SMK Simpang.Guru berkenaan yang ditugaskan menjaga sebuah bilik darjah menangis kerana tidak dapat mengawal kelas berkenaan. Kami ketawa kerana ini baru satu kelas dan baru satu hari berinteraksi dengan pelajar luar bandar. Kami yang setiap hari dan saban waktu ini,bagaimana pula? Sebab itu ,bagi saya, guru yang mengajar sekolah elit belum tentu hebat dan belum teruji sepenuhnya. Peperiksaan guru ini sebagai seorang guru belum lengkap. Ini kerana mereka menerima pelajar yang keupayaan otaknya adalah yang terbaik.
Bayangkan sekolah saya. Pelajar yang masuk tingkatan 1,sudah ditapis .Pelajar yang mendapat 5A ,4A dan 3A pergi ke sekolah asarama. Setelah 3 tahun,pelajar yang mendapat keputusan yang baik dalam PMR,akan minta sekolah sains ,MRSM dan sekolah teknik. Tinggal yang sisa je untuk SPM. Di sinilah peperiksaan dan ujian yang sebenar untuk guru. Pastikan pelajar mendapat yang terbaik untuk SPM.Dan rasa bangga pasti terbit apabila bertemu pelajar-pelajar ini yang masing-masing berjaya dan gemilang dalam hidup. Ada pelajar yang biasa-biasa saja ,tetapi menang dan menjadi pelajar terbaik dalam pelbagai bidang. Ada pelajar yang jadi polis dan askar,menjadi pelatih terbaik dan mewakili negeri dalam permainan seperti bola sepak.
Pada 14 November baru-baru ini, saya menghadiri jamuan akhir tahun Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber yang diadakan di hotel Legend Inn,Taiping. Semasa di luar dewan jamuan,saya disapa oleh seorang 'waiter' yang bertugas. Dengan penuh senyuman,beliau bertanyakan " salam cikgu, ingat saya". Saya memandang beliau,dan memang saya tidak ingat. Saya berterus terang yang saya tidak ingat. Beliau memberitahu nama beliau ialah Abdul Rahim,kelas sekali kembar. Lantas,memori datang kembali. Saya tersenyum. Pelajar ini pelajar tahun 2001. Kelas 5C. Kelas paling hujung.Kelas yang ramai guru enggan masuk. Kerana apa? Nakal .Buas,.Tidak. Sebenarnya,ramai yang enggan masuk ke kelas ini kerana sebahagian pelajar ini buta huruf dan kerap ponteng sekolah. Pelajar -pelajar kelas ini bagaimanapun mempunyai kemahiran yang lain iaitu mereka cekap dalam kerja-kerja pertukangan dan teknikal serta kudrat untuk melakukan kerja-kerja berat. Saya cukup tersentuh apabila pada suatu hari,ada di antara pelajar ini yang menyebut apabila hendak suruh buat kerja seperti angkat meja,kerusi,cangkul-menyangkul,dan segala macam kerja buruh,panggil kami. Tapi bila dalam perhimpunan dan sebagainya,kelas yang pandai yang dipuji. Dan saya cukup melihat senyuman yang manis pada Rahim ini. Dia tidak kekok untuk terus berbual. Dengan penuh beradab, beliau meminta izin untuk meneruskan pekerjaan beliau. Pada saya,untuk seseorang itu terus lulus dalam peperiksaan hidup sebagai manusia,bukan 8A atau 10A dalam SPM yang jadi ukuran,sebaliknya peperiksaan sentiasa melingkari kita.
Bukan hanya pelajar yang mengambil peperiksaan,tetapi semua manusia sebenarnya sentiasa dalam peperiksaan iaitu peperiksaan hidup. Siapa yang berjaya,pasti bahagia. Ini kerana yang menilai manusia dalam peperiksaan ini ialah Allah S.W.T. yang Maha Adil lagi Maha Kaya. Moga-moga saya melepasi peperiksaan ini.

30 September 2009

Prakash Raj


Saya memang suka menonton filem.Tidak kira fiem genre manapun. Begitu juga filem dari negara manapun. Selain P. Ramlee,saya cukup puas melihat hasil karya Akira Kurosawa seperti Seven Samurai,Sanjuro dan Rashomon. Begitu juga filemnya yang menceritakan tentang sambut kematian yang saya sudah lupa tajuk filemnya. Tidak kira filem tersebut 'box office" atau filem indie,dari Iran, Russia,Amerika,Australia,Poland, Jepun,Korea atau Thailand,kepuasan menonton yang ditagih.
Baru-baru ini,lebih tepat lagi pada mingu lepas saya pecah perut dan rasa puas menonton filem tamil "Abhiyum Naanum" di saluran 951 Astro lakonan Prakash Raj dan Trisha.Yang ingin saya sentuh ialah tentang Prakash Raj. Sudah lama saya berkenan dengan aksi lakonan beliau. Berilah peranan apa sahaja pasti dapat dijayakan dengan baik. Tampil hebat dengan watak jahat Ali Bhai dalam "Pokkiri" bersama Vijay.Juga menjadi penjahat bersama hero Vijay dalam "Villu". Saya paling suka dengan aksi beliau jika beliau melakonkan watak dan aksi komedi. Tahun lepas,bersama Jayam Ravi dan aktres Genelia ,lakonan beliau cukup menjadi dalam filem "box office" "Santosh Subramaniam". Dalam filem ini,beliau menjadi bapa kepada anak lelaki lakonan Jayam Ravi.
Dan tahun ini, Prakash Raj menjadi bapa kepada anak perempuan pula yang dilakonkan oleh Trisha dalam filem "Abhiyum Naanum". Bagi saya ,cerita ini cukup menarik,penuh rencah hidup,dan mempunyai mesej yang kuat. Tidak ada adegan pergaduhan seperti filem Tamil yang biasa kita tontoni. Filem ini filem tentang kekeluargaan.Filem ini tentang kasih sayang dalam keluarga,antara keluarga dan dalam masyarakat. Pasti penonton akan tercuit hati nurani melihat aksi Prakash Raj sebagai bapa. Juga aksi-aksi lain termasuklah aksi Ravi,orang gaji Prakash Raj yang diambil menjadi orang gaji apabiladidesak oleh anak perempuan tunggalnya.Lihatlah bagaimana Ravi cukup terharu dan sebak dengan layanan keluarga Prakash Raj yang melayan beliau dengan baik. Dalamsatu adegan ,apabila meraikan perkahwinan mereka,Prakash Raj membawa bersama Ravi untuk meraikannya di hotel.Ravi cukup terharu kerana ini merupakan kali pertama dia dapat menikmati nasi beriani di hotel. Saya telah menonton filem ini di astro 951 sebanyak 4 kali. Tidak jemu dan cukup terhibur dan melucukan. Percayalah. Cubalah anda tonton.Pasti anda rasa kreatifnya filem ini disampaikan tentang hubungan kasih sayang bapa dan anak. Apa lagi. Tontonlah filem ini.

07 Ogos 2009

Frank McCourt

Gambar di atas merupakan gambar Frank McCourt,pengarang novel yang cukup saya gemari. Saya cukup terkesan dengan novel autobiografinya iaitu novel "Angela Ashes", "Tis" dan "Teacher Man". Sejak membaca novel pertama beliau iaitu "Angela Ashes" ,saya terus terpesona dengan dua novel berikutnya. Menceritakan kisah hidup beliau dalam ketiga-tiga novel,ia banyak memberi semangat dan inspirasi terhadap kerjaya saya sebagai guru.
Dan,Frank McCourt ini telah meninggal dunia pada 20 Julai 2009 yang lalu. Saya juga telah melihat filem "Angela Ashes" yang dilakonkan oleh Robert Carlyle.Dan filem ini juga begitu cemerlang sama dengan novelnya.
Betullah kata peribahasa Melayu ," Harimau mati meninggalkan belang,manusia mati meninggalkan nama." Terima kasih Frank McCourt.

29 Jun 2009

imbauan p. pinang

Saya cukup hormat dan rasa hebat kepada penulis yang mampu menulis secara tekal dan berkala. Teringat pada kata-kata pensyarah Sejarah semasa di USM iaitu Profesor Madya Abdul Rahman Ismail yang menceritakan betapa konsisten sejarawan seperti Ssu Ma Tan, Ranke, Ibn Khaldun dan Tacitus yang begitu banyak menulis dan lazim menulis setiap hari. Saya yang pergi ke Pulau Pinang pada 22 Jun 2009- 26 Jun 2009 di Hotel Copthorne,Tanjung Bungah untuk kursus Bahasa Melayu bercadang setelah pulang ke rumah untuk menulis sesuatu. Tapi. Tangguh punya tangguh. Ansur punya ansur. Hari ini baru mula boleh tulis. Memang terasa nostalgia semasa belajar di USM dari Julai 1993 hingga Jun 1998 datang melayang dan menampakkan paparan dalam skrin fikiran.Indah dan perit waktu belajar pada masa itu.
Pada 26 Jun 2009,saya solat Jumaat di masjid Al-Malik Khalid,USM. Bangunannya masih sama.Cuma keadaan sekeling terasa suasana baru. Saya berasa seolah-olah berada di negara Arab lagaknya. Manakan tidak begitu ramai warga Arab yang solat di sana. Tambahan lagi,seusai solat ,di luar berlaku urusan jual beli yang penjualnya ialah warga Arab yang menjual roti Arab,kek dan minuman malt dari Arab. USM membenarkan warga pelajar Arab ini menjual di luar perkarangan masjid.
Semasa sekolah rendah dahulu,jika mengikuti rombongan ke Pulau Pinang, tempat tumpuan utama ialah Padang Kota Lama untuk menikmati pasembor. Pada 25 Jun , bersama-sama dengan 3 orang rakan sekursus,kami ke Padang Kota Lama. Jamnya 5.30 petang. Ombak dan angin masih sama. Yang berbeza ialah gerai yang menjual pasembor. Dulu ,ada van dan berterabur gerainya. Sekarang,diinstitusikan gerai menjadi gerai konkrit berderet.Rasa pasembornya masih lagi seperti dulu.
Semasa menjadi pelajar dulu, tempat yang paling kerap saya kunjungi selain Lorong Kulit ialah Chowrasta. Bukan untuk menikmati buah palanya tetapi ingin mencari buku langka dan buku yang diminati terutama novel di kedai buku terpakai . Disinilah, saya beroleh Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Hamka, Sandera dan Eno oleh SN Arena Wati, Kamus Bahasa Melayu-Inggeris oleh Winstedt,The Godfather oleh Mario Puzo,The Crime and Punishment oleh Fyodor Dostovseky,The Old Man and the Sea oleh Hemingway,dan banyak lagi novel yang dikeluarkan oleh Teks Publishing dan Pustaka Antara. Walaupun,rakan di USM ada memberitahu bahawa di Chowrasta kini yang banyak hanya buku rujukan PMR,SPM dan STPM,saya gagah juga ke Chowrasta kerana tarikan nostalgia yang tak lagi dapat dihalang-halang. Rupa-rupanya tidak sia-sia pemergian saya kali ini. Saya beroleh buku yang lama sudah saya cari iaitu "Kalilah dan Dimnah" yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964,iaitu karya saduran yang tersohor pada zaman Abbasiah yang diambil dari India yang diceritakan oleh ahli falsafah Baidaba untuk rajanya Dabshalim.Saya telah membaca sebahagian buku ini,dan memang buku ini mempunyai nilai pengajaran yang cukup bermanfaat untuk manusia terutama untuk pemerintah dan ketua menjadi seorang yang adil dan berbudi tinggi. Selain itu,saya juga beroleh buku "Batu Belah Batu Bertangkup" oleh A. Samad Ahmad dan novel " Melor Kuala Lumpur" oleh Harun Aminurrashid serta buku "Hikayat Pelanduk Jenaka". Nikmat yang terasa tak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Datang ke Pulau Pinang pasti ingin mencari nasi kandar. Nasi kandar Line Clear sudah rasa. Nasi kandar Kampung Melayu memang sedap.Semasa belajar di USM, sudah tentu pilihan utama nasi kandar bagi pelajar di USMNasi Kandar Shariff kat Gelugor.Tanyalah pelajar USM yang kena penangan nasi kandar Shariff,mesti mengakui kesedapannya. Kali ini,sahabat saya Azizi Ibrahim,pegawai pemasaran USains bawa saya menikmati nasi beriani di Restoran Ramzan. Sedap. Cuma kini ,ada tambahan menu baru iaitu ayam piru yang harganya lebih mahal dari kambing. Kali ini saya tidak sempat untuk menikmati pasembor dan mi rebus di Pitchay dekat Sungai Nibong.
Nostalgia dan realiti.....indahnya hidup ini. Alhamdulillah.

20 Jun 2009

bahasa lagi

Dalam tugasan berkaitan faktor-faktor anjakan bahasa,faktor utama dan dominan ialah faktor politik.Dominan atau pengaruh politik cukup berkesan dalam mencorakkan hala tuju sesebuah negara. Begitu juga dengan keadaannya dengan bahasa.Bahasa boleh maju,berkembang ,membudaya atau mundur,lesu,dan melukut di tepi gantang. Politik cukup berkuasa dan boleh memaksa kuasa dan seni yang ada pada kuasa untuk membolehkan sesuatu hasrat dan cita-cita direalitikan. Malah cuba diolah,dibaik imejnya untuk diterima oleh kita secara wajar lagi diterima akal.Oleh itu,saya melihat peranan politik memberi saham yang besar terhadap anjakan Bahasa Melayu yang semakin pudar,lesu,cukup tidak bermaya dan hidup segan,mati tidak mahu lagaknya. Sudah hilang kuku cengkaman membudayakan bahasa dalam badan berkanun Dewan Bahasa dan Pustaka. Sudah tidak kedengaran taring teriakan keramat gegak gempita dari universiti tempatan yang sepatutnya memainkan peranan utama mengukuh dan memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Apa ada pada citra dan pesona Sasterawan Negara atau Budayawan Negara serta Seniman Negara yang ada di negara kita? Cukupkah sekadar membaca sajak atau puisi dalam majlis santai ditaja Utusan dan gergasi ekonomi Exxon-Mobil?
Pada pandangan saya, Bahasa Melayu perlu dibaik imej,diperkasa secara skala besar dan serius. Perlu usaha dari kesungguhan politik dari kerajaan dan pembangkang. Jadikan bahasa sebagai pemersatu perpaduan rakyat Malaysia.Perlu digali akar umbi pemkiran cendiakawan negara kita tidak kira mereka itu sasterawan, ahli saintis,pakar pendidikan,ahli ekonomi,sejarawan dan sebagainya. Beri nilai ekonomi yang kuat terhadap mutu penggunaan Bahasa Melayu yang baik. Perkukuh segala ilmu dalam medium Bahasa Melayu. Pada pendapat saya, Institut Terjemahan Negara perlu memainkan peranan yang berat dan besar dalam hal ini. Malah,perlu diberi dana secukupnya dan diberi ruang seluasnya untuk bertindak. Diberi dana yang tinggi untuk melahirkan penterjemah mahir lagi cekap. Berdasarkan sejarah ,tamadun Eropah bangkit daripada Zaman Gelap setelah melakukan terjemahan buku dan ilmu secara agresif dari tamadun Islam. Jepun pulih begitu cepat selepas Perang Dunia Kedua dan menjadi negara maju contoh juga melalui giat jerih mereka melakukan penterjemahan ilmu dan buku ke dalam bahasa Jepun. Malah,sekarang ini Malaysia patut rasa malu terhadap negara Indonesia dalam bidang penterjemahan ilmu dan buku ini. Bagi pencinta buku, mereka cukup gembira kerana tidak berapa lama buku "best seller" dunia keluar, nanti akan ada terjemahan bukunya yang sah di Indonesia.
Saya cukup suka membaca novel.Ini termasuk juga esei dan cerpen. Saya cukup kagum dan hormat kepada pengarang dan penerbit buku yang terdahulu yang melakukan terjemahan buku ini. Melaluinya,saya membaca Angin Timur Angin Barat oleh Pearl S. Buck, Mutiara oleh John Steinbeck, Bumi Bertuah oleh Pearl S. Buck dan cerpen-cerpen oleh Leo Tolstoy, Anton Chekov,Maupasant dan Rabindrath Tagore. Antara penterjemah yang handal ialah SN Abdullah Husssein dan SN Shahnon Ahmad. Penerbitnya pula Oxford dan Pustaka Antara.Saya membaca novel ini dalam Bahasa Melayu. Setelah mampu membeli buku secara konsisten selepas kerja,baru saya baca dalam Bahasa Inggeris.Contohnya, novel The Good Earth dan The Pearl. Malah ,kini saya lebih membaca novel dalam Bahasa Inggeris. Karya John Grisham, Jefffry Archer,Haruku Murukami, Orhan Pamuk dan terkini novel Paolo Coelho.Mengapa? Tiada terjemahan novel popular,serius,komedi atau apa saja dalam Bahasa Melayu. Yang ada pun ialah novel-novel Harry Potter yang dilaksanakan oleh penerbit Fajar Bakti. Moga selepas ini penerbit Fajar Bakti lebih gigih dan banyak mengeluarkan karya terjemahan yang bermutu. Saya telah membaca karya Leo Tolstoy,pengarang tersohor Russia yang telah diterjemahkan oleh DBP iaitu Haji Murat dan Anna Karenina. Persoalan yang timbul dalam fikiran saya ialah mengapa DBP tidak menterjemahkan karya tersohor Leo Tolstoy iaitu War and Peace. Sepatutnya,Institut Terjemahan Negara dan DBP perlu melakukan terjemahan terhadap karya pemenang anugerah Nobel sama ada dalam bidang sastera ,sejarah,sains atau teknologi.
Sesungguhnya, bahasa pasti akan teranjak ke tahap yang lebih baik jika usaha penterjemahan ilmu ini dilakukan secara giat dan dalam ukuran gergasi. Jadilah naga dan harimau yang pemberani. Tidak nanti sesal di kemudian hari.

06 Jun 2009

citra tentang bahasa

Teringat pada tahun 1995 sewaktu di USM Pulau Pinang. Semasa belajar sosiologi bahasa di bawah Dr. Noriah bt Mohamad,kami dikehendaki membuat tugasan berkaitan pengekalan dan penganjakan bahasa dengan merujuk kepada bahasa kaum minoriti. Melihat kepada suasana yang berlaku kepada Bahasa Melayu @Bahasa Malaysia masa kini, terasa sangat yang Bahasa Melayu di Malaysia sebenarnya yang mengalami penganjakan bahasa yang serius sehingga mungkin nanti Bahasa Melayu di Malaysia setanding dan setaraf dengan bahasa Sanskrit dan bahasa Latin yang mati,lesu,pupus dan jadi legenda yang tidak berguna. Kalau dalam filem "Nujum Pak Belalang" ,kekuatan Hang Tuah bergantung kepada huruf Ta, di manakah kekuatan Bahasa Melayu di Malaysia? Di mahkamah, ha.ha.. pasti tidak relevan. Di dalam borang insurans misalnya, ha..ha.. buat dketawakan orang sahaja. Di dalam rancangan bual bicara atau realiti,... lebih kedengaran bahasa yang bercampur aduk dan kacau bilau jadinya. Malah,pasti berasa terhina apabila baca kenyataan dalam maklumat borang yang menyatakan jika terdapat pentafsiran dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ,maka di mahkamah pentafsiran dalam Bahasa Inggeris terpakai. Jadi, di mana kekuatan Bahasa Melayu? Jawab saya,tinggal nostalgia je. Saya tidak menentang Bahasa Inggeris. Bagi saya, kita perlu cekap,mahir,fasih dan selesa dengan bahasa. Biar bahasa apa pun.Contohilah Hang Tuah yang menguasai 12 bahasa. Saya sendiri baru habis dalam cuti ini membaca novel "Pride and Prejudice" karya Jane Austen. Sekarang sedang menikmati karya klasik Hemingway "The Old Man and The Sea" . Cuma.pinta saya ,martabatkan Bahasa Melayu .Biar semua borang perjanjian atau sebagainya ditulis dalam Bahasa Melayu.Beri nilai tambah kepada Bahasa Melayu. Program secara radikal dan drastik supaya Bahasa Melayu beri makna kepada rakyat Malaysia. Biar semua rakyat Malaysia tahu siapa dan betapa bernilainya karya Sasterawan Negara. Tidaklah apabila disebut nama SN Arena Wati, terpinga-pinga dan terpintal-pintal jadinya kita. Cukup bernilai novel Lingkaran oleh beliau yang menyentuh percaturan politik negara kita dan juga isu peminggiran golongan minoriti Orang Laut dan usaha bumiputera membangunkan ekonomi melawan tirani rasuah dan penyelewengan dalam novel "Citra". Begitu jua dengan karya SN Abdullah Hussein yang penuh perjuangan yang bermakna lagi mengesankan dalam novel-novel Perjalanan beliau. Sesungguhnya, kita perlu beranjak ke arah yang lebih menggalakkan untuk bahasa kita. Jika tidak,jadi nostalgia sahaja kita.

26 Mei 2009

gatal hendak menulis

Selalu teringat kepada kata-kata Hamka " Orang yang selalu dan rajin membaca akhirnya pasti akan mahu dan terusik ingin menulis". Jadi,bertitik tolak dari situ,timbul rasa dan gelojak dalam hati untuk cuba-cuba menulis . Apatah lagi,dikata orang sudah sekian lama menjadi guru bahasa dan sejarah dan ditambah dengan kembara pendidikan dari darjah satu dan sehingga tamat ijazah pertama di Universiti Sains Malaysia ,pasti ada pengalaman yang mengusik jiwa atau peristiwa yang mematangkan hati nurani. Moga, dengan timbul keberanian untuk menulis dan mencatat di blog sedikit sebanyak memberi justifikasi terhadap upaya diri sendiri yang sebelum ini tidak diendah. Alhamdulillah ,segala pujian kepada Allah yang memberi kesempatan kepada penulis untuk kembara ilmu sehingga setakat ini. Moga diberkati dan diberi petunjuk.