doa

doa
amalan hidup

26 Mac 2011

bola sepak : pengaruhnya merakyat dan mempesonakan

Sebut saja bola sepak,ramai yang ingin berbicara. Tidak kira ia melibatkan pemain yang cukup mahir atau cukup kaki bangku. Semua berminat memberi pendapat. Manusia boleh jadi cukup fanatik dengan bola sepak. Masing-masing  ada teori dan pasukan kegemaran mereka. Tidak hairanlah FIFA cukup buat duit dengan Piala Dunia. Masing-masing ada pemain kesayangan mereka tersendiri. Yang cukup laku adalah aksesori terutama jersi pemain. Apabila pasukan kebangsaan Malaysia menunjukkan peningkatan selepas ke pusingan kedua Sukan Asia dan menjuarai Piala AFF Suzuki,ramai kanak-kanak ,remaja serta pemuda dan yang dewasa tidak lagi malu untuk memakai jersi kuning dan biru Malaysia. Malah,sudah ada sokongan yang kuat dari penyokong tegar Malaysia yang menggelarkan diri sebagai "Ultras-Malaysia".Pada saya,ini peningkatan yang baik. Kesannya akan turun mendasar ke peringkat yang paling asas dan dominan iaitu sekolah. Bola sepak akan jadi sukan teras yang cukup diminati dan dikagumi. Moga wira Malaysia terus maju menggapai impian ke Piala Dunia. Pasukan negara kita sudah mencatat sejarah layak ke Sukan Olimpik pada tahun 1972 dan tahun 1980.Tinggal pentas Piala Dunia belum merasa. Menyentuh tentang pemain bola sepak yang paling saya minati dan kagumi bakat beliau dari dulu sehingga kini ialah Diego Maradona.

09 Mac 2011

"The King's Speech" - Membuat penonton "speechless"


Sudah termaktub "The King's Speech" jadi filem terbaik academy tahun 2011.Tak perlu saya cakap apa-apa lagi. Tontonlah filem ini.

28 Februari 2011

Riuh-riuh filem

Menjelang sahaja awal tahun, pasti ada rakan saya yang amat berminat tentang filem akan merangka jadual kerja beliau dengan akan mengambil cuti dari bekerja pada hari gemilang "Academy" berlangsung.Beliau akan bercuti dan mengikuti dengan penuh minat siaran langsung ini. Pada beliau,sudah hilang seri dan kepuasan apabila hanya menonton siaran ulangan.

Saya juga cukup meminati filem. Setara dengan rasa kasih dan sayang pada buku. Saya menonton semua filem dan semua genre filem. Tidak kira ia filem Barat,Melayu,Tamil,Hindustan, Eropah,Iran dan yang lain-lain.Asalkan filem tersebut dapat menimbulkan rasa puas adan seronok saya untuk menontonnya.Dan saya juga turut mengikuti filem terbaik Academy untuk menontonnya kemudian. Sampai kini,saya masih tidak dapat menonton 2 buah filem yang mendapat kritikan hebat pada Academy yang terdahulu iaitu filem perang "The Hurt Locker" dan filem lakonan Marion Cotillard "La Vien Rose". Tahun ini,berdasarkan sorotan dan analisis di dada akhbar,saya teruja untuk melihat filem The King's Speech sebuah filem berkaitan sejarah yang pasti memancing minat yang cukup besar buat saya.Selain itu,saya ingin menonton filem Black Swan lakonan Natalie Portman,The Fighter lakonan Mark Wahlberg dan Christian Bale serta sebuah filem koboi lakonan Jeff Bridges iaitu " True Grit".

Selain ingin menceritakan berkaitan buku yang telah saya baca,saya juga ingin berbuat yang demikian untuk filem. Filem-filem P. Ramlee cukup hebat pada pandangan saya. Begitu juga filem-filem arahan Akira Kurosawa dari Jepun dan Zhang Yimou dari China. Saya pernah mempertontonkan kepada pelajar saya 2 buah filem dari Zhang Yimou iaitu "Not One Less" cerita guru muda sandaran yang gigih mengajar anak murid beliau serta sebuah filem cinta yang cukup indah lakonan Zhang Ziyi iaitu "The Road Home". Yang menariknya dalam "The Road Home" ,ia dibuat dalam dua bentuk iaitu hitam putih dan warna. Hitam putih menggambarkan masa kini dan warna apabila diimbas kembali bagaimana hubungan cinta antara Zhang Ziyi dan guru muda dari bandar bermula proses mereka bercinta dan cabaran percintaan mereka. Cukup menarik dan mempesonakan. Tontonlah.

Poster filem di atas ialah filem yang paling saya gemari. Ada dua buah filem yang saya cukup gemari iaitu filem "The Shawshank Redemption" lakonan hebat Tim Robbins dan Morgan Freeman dan filem "Cinema Paradiso" iaitu filem berkaitan sejarah pasang surut gemilang sebuah panggung wayang dan dua orang pelaku penting iaitu pemain wayang itu dan budak yang berminat dengannya. Lain kali saya akan bercerita lagi.
Sekarang musim sibuk. Perlu tonton filem untuk seimbangkan kesibukan tersebut.

22 Februari 2011

Mengenang dan Menghargai 3 Orang Guru Sejarah Yang Cukup Banyak Menimbulkan Minat Cintakan Sejarah

Saya cukup meminati sejarah. Tak tahu mengapa? Cukup rasa teruja dan menyeronokkan. Berilah apa-apa sahaja yang berkaitan dengan sejarah.Baik filem mahupun buku. Sebab itu pada tahun lepas,saya cukup berpuas hati dapat menonton banyak filem yang berunsur sejarah. Salah satunya ialah filem terbaik kantonis Hong Kong yang bertajuk "The Bodyguards And Assassins" . Filem ini diterajui oleh Donnie Yen,Leon Lai dan Nicholas Tse. Ia mengisahkan usaha rakyat biasa yang berkorban nyawa memastikan nyawa pemimpin mereka Dr. Sun Yat Sen terus bernafas dari dibunuh pembunuh-pembunuh upahan.Cukup hebat dan menarik filem ini. Atas dasar itu,filem ini menang filem terbaik.Sebab itu antara tahun 2001-2006,saya sering mempertontonkan kepada pelajar saya flem-filem berunsur sejarah yang menarik dan juga filem-filem yang diangkat dari kisah benar.Salah satunya ialah filem "Remember The Titans". Filem ini diterajui pelakon pemenang Academy iaitu Denzel Washington. Filem ini memaparkan bagaimana sukan american football berjaya menyatu secara kuat dan erat antara orang kulit putih dan negro sehingga kolej universiti mereka berjaya secara luar biasa dalam permainan american football. Seusai tayangan, pelajar memberitahu mereka cukup rasa terdorong untuk melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh demi mencapai kegemilangan yang diidam-idamkan.

Begitulah saya dengan sejarah. Pada kesempatan ini, ingin saya mengenang dan menghargai 3 orang guru wanita yang menimbulkan minat saya yang kuat terhadap sejarah. Terima kasih untuk cikgu bertiga ini. Cikgu Siti Aminah yang mengajar saya semasa di tingkatan 3,4 dan 5 di SMK Tengku Menteri,Changkat Jering. Cikgu Latifah Hanam binti Ibrahim yang mengajar Sejarah Islam semasa di tingkatan 6 di SMK Dato' Burhanuddin,Taiping.Cikgu Wan Khamsiah yang mengajar saya Sejarah Malaysia,Asia Tenggara dan Asia semasa di tingkatan 6 SMK Dr. Burhanuddin,Taiping. Cikgu Siti Aminah ,sekarang ini,tidak diketahui lokasi beliau berada. Cikgu Wan Khamsiah telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2008. Cikgu Latifah Hanam kini menjadi pengetua di SMK Matang,Matang,Larut Matang dan Selama,Perak.

Sesungguhnya,ketiga-tiga guru ini cukup memberikan impak yang kuat kepada saya untuk cinta dan sayang memupuk kasih terhadap sejarah. Ketiga-tiganya mempunyai gaya yang berlainan semasa mengajar. Walaupun begitu,saya dapat menyerap dengan baik pelajaran yang mereka ajarkan. Buktinya,saya memperoleh gred A untuk peperiksaan SPM dan begitu juga prinsipal A untuk peperiksaan STPM. Masih tergambar dalam kotak fikiran gaya pengajaran ketiga-tiganya yang cukup berbeza tetapi masih memberikan impak yang kuat kepada saya sehingga timbul rasa cinta dan sayang yang akhirnya dapat memupuk kasih yang cukup erat terhadap sejarah.Cikgu Siti Aminah yang penuh gemalai dan lembut senyum semasa mengajar. Cikgu Wan Khamsiah dengan gaya bersyarah menyampaikan pengajaran.Cikgu Latifah Hanam dengan nota dan penerangan yang terancang dan sistematik beserta senyuman yang tidak lekang dari bibir.

Masih teringat reaksi dan kata-kata cikgu ini sepanjang saya menjadi murid mereka. Teringat reaksi Cikgu Siti Aminah yang terkejut apabila saya dapat menjawab soalan semasa tingkatan 3 iaitu bab 6,7,8 dan 9 sedangkan semasa itu sedang belajar bab 3. Teringat kata-kata dan saranan Cikgu Latifah Hanam yang menyuruh saya mengambil ijazah undang-undang di Universiti Malaya setelah keluar keputusan peperiksaan STPM. Terimbas kembali nasihat cikgu Wan Khamsiah yang menyuruh saya melakukan perkara yang berguna dan berjasa pada masa hadapan kelak.

Untuk kesekian kalinya,terima kasih yang tidak terhingga untuk Cikgu Siti Aminah,Cikgu Wan Khamsiah dan Cikgu Latifah Hanam kerana mendewasakan saya dengan pengajaran mereka. Alhamdulillah.

Cuba memahami tafsiran bakhil dan boros dalam Tafsir Al-Azhar karangan Prof. Dr. Hamka


Selain SN Arena Wati,SN Abdullah Hussein,SN Shahnon Ahmad ,saya cukup terkesan dengan gaya bahasa dan penyampaian Pak Hamka.Ingat lagi novel pertama beliau yang saya baca iaitu novel "Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck". Cukup mengharukan dan lebih dramatik dari filem Titanic.Nanti ,pada lain kesempatan akan saya paparkan kutipan fragmen menarik dalam novel ini. Begitu juga novel "Di Bawah Lindungan Kaabah" beliau yang menyorot cinta pada sukma manusia. Dan ,mesti baca juga antologi cerpen "Dalam Lembah Kehidupan". Dan tidak cukup dengan itu,jika anda tidak membaca buku " Falsafah Hidup","Lembaga Budi" dan novel autobiografi "Kenang-Kenangan Hidup".

Sehingga kini,setiap minggu pasti akan saya baca karya Pak Hamka. Sudah tentu karya hebat beliau iaitu Tafsir Al-Azhar. Pada kesempatan ini, ingin saya kutip pandangan beliau berkaitan soal bakhil da boros yang ada disinggung beliau dalam surah al-Isra' ayat 26-30. Melalui ayat 27 surah al-Isra' inilah selalu kita dilaungkan dengan perbuatan orang yang pemboros adalah saudara syaitan.

Prof . Hamka memilih kata boros sebagai erti dari kalimat "mubazzir". Dicatatkan pengertian yang dikemukakan oleh ulama yang tersohor. Imam Syafie mengatakan mubazzir ialah membelanjakan harta tidak pada jalannya. Imam Malik pula berkata mubazzir ialah mengambil harta dari jalannya yang pantas tetapi mengeluarkannya dengan jalan yang tak pantas.Mujahid pula berkata :" Walaupun seluruh hartanya dihabiskan untuk jalan yang benar,tidaklah dia mubazzir.Tetapi walaupun hanya segantang padi dikeluarkannya,padaha tidak pada jalan yang benar,itu sudah mubazzir". Hamka turut menunjukkan contoh pengajaran yang diberikan oleh ayahanda beliau berkaitan membazir atau boros ini. Ayah beliau memberi peringatan supaya menanak nasi secukupnya bagi orang yang akan makan.Jangan sampai berlebih yang akan menyebabkan basi dan terbuang.Kalau nasi itu berlebih tetapi tidak basi dan kita sudah kenyang,kita harus memberikannya kepada orang yang memerlukan.Tetapi kalau nasi sudah basi,nescaya terpaksa dibuangkan. Timbul nasi basi kerana ditanak terlalu banyak. Itu ditegur oleh ayah beliau dan dimarahi sebab membazir. Ya Allah. Lihatlah kurniaan Allah kepada para ulamak ini. Mereka betul-betul memahami dan peka terhadap perbuatan yang betul dan salah. Betapa penulis sendiri berani mengakui bahawa sudah banyak perbuatan membazir yang telah dilakukan sepanjang hidup. Makanan memang selalu.Pergi ke pasar malam,angkut dan beli sahaja. Kemudian terbuang akibat tidak habis dimakan. Itu belum lagi wang yang diperolehi dihabiskan begitu sahaja. Sungguh.Tepatlah kata-kata Imam Syafie,semakin manusia faham sesuatu,semakin kita merasakan diri kita terlalu kerdil dan Allah sahaja yang Maha Hebat dan Sempurna.

Berkaitan sikap boros dan bakhil,kedua-dua perbuatan ini tidak disukai Allah dan akan mendapat kecelakaan dan tercela hidup. Kata Hamka,orang yang bakhil akan tercela dalam pergaulan hidupnya sebab dengan tidak disedarinya dia telah diperhamba oleh hartanya itu. Mau dia berkerat rotan denan kaum keluarganya kerana cintanya akan hartanya itu. Sedang orang yang boros dan mencurah-curahkan harta ,akhir kelaknya akan menyesal sendiri bilamana hartabenda itu telah punah dan licin tandas kerana keluarnya tidak berperhitungan.
Betapa tepat dan betulnya Hamka.

Tinggal kini,kita sebagai manusia yang sudah mengetahui,perlu melakukan apa yang difahami dengan sepenuh bulat kepercayaan kerana Allah semata-mata. Jika tidak,kita tidak ubah seperti keldai yang membawa beban kitab atau buku yang penuh dengan ilmu pengetahuan tapi tidak mengambil sepenuh manfaat daripada buku dan kitab tersebut. Malang sungguh.

Ya Allah,mudahkanlah kami untuk memahami kebaikan dan mudahkan kami untuk melakukan kebaikan tersebut.

13 Februari 2011

Perjalanan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain

Gambar di atas ialah gambar Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang tiba-tiba menjadi tumpuan umum akibat kontroversi novel "Interlok". Saya cukup menghormati SN ini. Malah cukup meminati karya beliau. Beliau,SN Anwar Ridhwan,Prof Dr. Hamka adalah penulis yang seiring yang saya minati selepas SN Arena Wati.

Bagi saya sendiri,novel "Interlok" bukan mahakarya beliau. Ada banyak lagi karya beliau yang patut kita baca dan telaah. Novel "Imam" yang memenangi pertandingan yang dianjurkan oleh Utusan lebih besar dan baik dari Interlok. Saya sendiri lebih teruja untuk berbicara novel autobiografi beliau iaitu " Sebuah Perjalanan", "Perjalanan Mencari Bahasa", "Perjalanan Mencari Diri" dan "Perjalanan Mencari Hikmah". Bacalah keempat-empat novel ini, pasti akan timbul rasa kagum,hormat yang tulus terhadap beliau. Lihatlah jasa dan sumbangan beliau terhadap Malaysia dan juga Indonesia. Lihat peranan beliau sebagai Ahi Cipta di Universiti Sains Malaysia,Pulau Pinang,lihatlah peranan beliau di Brunei semasa bertugas dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Lihatlah persahabatan tulus beliau dengan Seniman Agung P. Ramlee sehingga menghasilkan majalah hiburan tersohor "Gelanggang Filem". Lihatlah sumbangan beliau terhadap Acheh. Pada saya ,manusia yang waras apabila selesai membaca kisah hidup beliau dalam novel-novel ini pasti tidak akan memaki hamun dan membakar gambar beliau. Hari Sabtu dan Ahad baru-baru ini saya mula kembali membaca novel "Sebuah Perjalanan". Terasa cukup nikmat. Saran saya,bacalah keempat-empat novel perjalanan beliau. Saya akan cuba menghabiskan 4 novel ini sehingga akhir bulan Februari.Cukup seronok membaca dengan gaya penceritaan yang beliau kemukakan. Penceritaan bersifat jujur cukup mengujakan. Cerita zaman kanak-kanak beliau cukup menghiburkan. Kisah dirotan semasa mengaji Al-Quran kerana rasa mengantuk mengimbau kenangan saya semasa mengaji Al-Quran di kampung pada tahun 1980-an dulu. Sesungguhnya,saya amat terhibur dengan 4 novel perjalanan beliau ini. Pengajarannya kepada saya, kita mesti melakukan yang terbaik terhadap perjalanan hidup kita yang penuh warna-warni ini. Kitalah yang akan mencorakkannya.

Cukup dahulu setakat ini. Lain kali saya ingin bercerita tentang cerpen-cerpen beliau iaitu  siri cerpen "Pertemuan" beliau yang cukup manusiawi dan cerpen beliau yang melucukan tetapi amat menginsafkan mengenai kehidupan yang terdesak menyebabkan manusia sanggup melakukan apa-apa sahaja seperti yang terlukis dalam cerpen "Baboon".

Nasihat saya, cari 4 buah novel perjalanan beliau dan siri cerpen pertemuan beliau. Selepas itu,pasti kita sebagai manusia akan menghormati Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain pada tempat yang paling wajar. Terima kasih untuk SN Abdullah Hussain yang mendewasakan saya.

08 Februari 2011

Pelajar Sekarang,Pelajar Dahulu

Seringkali saya memberitahu pelajar saya,mereka kini menghadapi cabaran baru dan pelbagai dalam bidang pendidikan berbanding saya. Saya memberitahu dulu pelajarnya lebih menikmati kebebasan. Selalunya,disambut oleh pelajar "cikgu tipu ". Saya kata ,"betul". Dulu, pelajar diberikan kebebasan untuk aktif dalam bidang ko-kurikulum. Ertinya,pilih dan aktiflah dalam bidang yang ingin diceburi. Saya memilih untuk aktif sebagai pengawas pusat sumber dan aktif dalam kelab sejarah. Untuk unit uniform dan sukan,saya hanya serta begitu-begitu sahaja .Dan tidak aktif sepanjang tahun.

Pelajar kini terpaksa dan dipaksa untuk menyertai ketiga-tiga cabang ko-kurikulum ini.

Hasilnya,dapat saya rumuskan,walau niat pelaksanaan adalah baik tetapi kesannya amat kurang . Secara psikologinya,perkara dan benda yang dipaksa selalunya tidak memberikan impak yang kita kehendaki. Apabila kita menyertai sesuatu secara minat dan pilihan sendiri,pasti akan memberikan seribu kemanisan dan keseronokan untuk bekerja. Contohnya,saya memang meminati apa sahaja yang berkaitan dengan sejarah. Hasilnya,semasa tingkatan 3,di SMK Tengku Menteri, saya terlibat bersama-sama menyediakan model sejarah Bukit Gantang dari tanah liat sempena karnival akademik yang diadakan di Sekolah Menengah Raja Tun Azlan Shah(SERATAS). Semasa karnival,beberapa orang pelajar termasuk saya menjadi duta merangkap jurucakap kepada pengunjung yang bertanyakan sudut dan peristiwa sejarah berasaskan model yang telah dibina. Sungguh. Terasa kepuasan yang amat sangat. Apatah lagi ramai pengunjung yang datang berkunjung dan bertanya soalan.

Sebab itu,saya cukup bersimpati dengan pelajar sekarang ini. Bebanan mereka untuk belajar kini cukup tinggi. Kerja kursus untuk mata pelajaran cukup banyak.Latihan mesti sekian banyak sekian bilangan.Saya melihat wajah ceria yang sepatutnya ada di wajah pelajar makin sirna. Nampak tekanan yang ada. Saya memberitahu kepada pelajar zaman saya dahulu,kerja rumah tidak banyak tetapi ruang kreatif tetap subur. Kami dulu menikmati zaman pelajar dengan puas. Setiap kali bertemu dengan rakan sekelas atau sekolah dari tingkatan 1-tingkatan 5 (1986-1990),pasti kami cukup seronok untuk mengimbau detik-detik indah sewaktu zaman persekolahan  dahulu.

Zaman berubah,situasi pun berubah.

06 Februari 2011

Sasterawan Negara Yang Paling Saya Minati: Arena Wati

Inilah penulis carta pertama pilihan saya. Sasterawan Negara Arena Wati. Boleh dikatakan hampir semua karya beliau ada dalam simpanan saya. Kalau berkesempatan,ingin sahaja saya menulis apa-apa sahaja berkaitan Pak Arena dalam blog ini. Saya bersama-sama sahabat baik saya,Azizi Ibrahim cukup meminati hasil karya beliau. Sepanjang minggu lepas,sempena cuti panjang sedikit sempena Tahun Baru Cina,saya sempat membaca novel "Panrita" dan antologi cerpen "Getar-Getir Maya". Sudah sekian kalinya saya mengulangi membaca karya beliau. Pada pandangan saya,sesuatu yang merugikan bagi pembaca Bahasa Melayu sekiranya tidak menikmati karya beliau.

Saya mula menikmati karya Pak Arena semasa bersekolah menengah di SMK Tengku Menteri (1986-1990)(Tingkatan 1-5). Rasanya semasa tingkatan 2,saya terpaut. Novelnya ialah novel "Rontok" . Kemudian semasa di tingkatan 5,novel "Royan" pula dijamah. Semasa mula baca pada awal tahun tingkatan 2,saya ingatkan penulis adalah seorang wanita.Kemudian,baru tahu siapa Arena Wati sebenarnya. Ini kerana pada tahun 1987 atau 1988,saya melihat Arena Wati diwawancara di kaca televisyen,Tidak ingat saya sama ada dalam "Selamat Pagi Malaysia" di RTM1 atau di "Malaysia Hari Ini" di TV3. Yang pentingnya,saya terpaku di hadapan tv pagi itu. Pada pagi itu,Pak Arena memperkenalkan 3 novel buah tangan terbaru beliau iaitu novel "Sakura Mengorak Kelopak","Kuntum Tulip Biru " dan "Bunga Dari Kuburan".Semasa di Universiti Sains Malaysia baru saya berkesempatan membaca trilogi novel ini.

Semasa Tingakatan 6 di SMK Dr. Burhanuddin,semakin bertambah keinginan untuk menikmati karya Pak Arena seterusnya. Ini berikutan saya dan Azizi mendapat hadiah akademik untuk pelajar terbaik bagi peperiksaan tingkatan enam rendah. Hadiahnya? Novel terbaru Pak Arena yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu novel "Citra".Fuhhh...memang menarik dan tertarik novel ini. Novel ini pernah dijadikan drama oleh pengarah Anwardi Jamil. Saya rasa sudah lebih 10 kali saya membaca "Citra". Cukup dramatik.Perjuangan orang Melayu Serkat, warna-warni watak Ucok dan Sari Bulan.

Selepas peristiwa "Citra",saya terus memburu karya Pak Arena. Sekarang, ulang baca mana-mana yang hendak dibaca.Kini,saya mencari novel "Rontok" dan "Royan" untuk disimpan dalam perpustakan kecil saya.
Kesempatan terbuka luas apabila saya menuntut di USM ,Pulau Pinang pada 1993. Di sinilah, saya puas dengan karya beliau. Saya dapat membeli novel "Sandera" dengan potongan harga 70 peratus di kedai buku koperatif. Saya dapat memiliki novel "Eno" ,"Sarida", dan "Lingkaran" di pasar Chowrasta,tempat menjual buku-buku terpakai.

Apabila saya mula bekerja mulai bulan Jun 1998,langkah dan kesempatan menjadi lebih panjang. Lebih banyak karya beliau berjaya dimiliki.

Buku beliau yang paling saya minati ialah "Enda Gulingku","Meniti Kala", "Begawan", "Sukma Angin", Trilogi Busa ,Trilogi Armageddon, "Citra" dan "Sakura Mengorak Kelopak". Ini termasuk cerpen-cerpen beliau yang terkandung dalam antologi "Bara Batu", antologi "Burung Badai" dan antologi "Getar-Getir Maya".

05 Februari 2011

Sasterawan Negara: Ada Tokohnya , Tiada Gah Di Minda dan Di Hati Rakyat

Cukup bagus apabila novel "Interlok" karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain. menjadi isu kontroversi yang menggamit semua pihak menunjukkan belang masing-masing. Saya tidak ingin membincangkan novel Interlok di sini. Bagi saya, Interlok bukan novel terbaik beliau. Baca "Sebuah Perjalanan", dan novel autobiografi perjalanan beliau yang selanjutnya.Juga baca cerpen-cerpen "Pertemuan" beliau. Yang ingin saya sentuh ialah tentang institusi gelaran "Sasterawan Negara" itu sendiri. Kalaulah tidak berlaku kontroversi,tidak ramai yang tahu bahawa Abdullah Hussain merupakan Sasterawan Negara Malaysia. Saya pasti kerana sebelum ini karya beliau ,"Konserto Terakhir" telah dijadikan karya untuk KOMSAS sekolah menengah atas dari tahun 2001 hingga 2010.
Menyentuh tentang subjek sasterawan negara ini,hati saya cukup pilu dan marah serta kecewa sangat . Ini terjadi pada hari Selasa,1 Februari yang lalu. Siapa? Pelajar tingkatan 5 Bahasa Melayu saya. Sebelum memulakan pelajaran, saya bertanyakan tentang sasterawan negara. Cuba sebut berapa bilangan penerima di Malaysia sehingga 2011. Semua terpelongo sahaja. Terpingkal-pingkal. Kesian sungguh. Tak jadi nak marah. Terus dengan soalan yang kedua. Cuba namakan sasterawan negara yang ada. Lagi terpinga-pinga. Meneka dalam kesamaran. Akhirnya,saya memberitahu ada 10 orang sasterawan negara. Masih lagi pelajar untuk terus meneka. Yang betul hanya seorang iaitu Sasterawan Negara Dato' A Samad Said. Apabila saya menyebut sepuluh nama, masing-masing seperti berada di planet asing.Kosong. Baru pertama kali dengar dan tahu. Akhirnya ,saya memberi masa selama 2 minggu kepada pelajar untuk mencari maklumat berkaitan Sasterawan Negara ini.
10 orang Sasterawan Negara Malaysia sehingga 2010 yang patut semua rakyat Malaysia tahu
1.Sasterawan Negara Keris Mas (Kamaluddin bin Mohamad)
2.Sasterawan Negara Dato' Usman Awang.
3.Sasterawan Negara Dato' Shahnon Ahmad.
4.Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said.
5.Sasterawan Negara Arena Wati ( Mohamad Dahlan bin Biang)
6.Sasterawan Negara Dato' Abdullah Hussain.
7.Sasterawan Negara Dato' Noordin Hassan.
8.Sasterawan Negara Dr. Muhammad Haji Salleh.
9. Sasterawan Negara S. Othman Kelantan.
10 Sasterawan Negara Dato' Anwar Ridhwan.

Sesungguhnya,banyak yang bersarang dalam kotak ingatan saya. Banyak juga yang ingin dihamburkan. Tapi.Tunggu dulu.Macam iklan le pulak ye. Nanti kita sambung lagi cerita sasterawan negara ini. Cerita....cerita le (Ikut "Hantu Kak Limah Balik Rumah"). Ha. ha.

kembara sejarah :peristiwa berulang pelaku berbeza

Mengikuti peristiwa jatuhnya Presiden Tunisia ,Ben-Ali dan bersemaraknya protes supaya Hosni Mubarak meletak jawatan sebagai Presiden Mesir, terasa terbayang-bayang segala peristiwa sejarah yang saya belajar dalam kuliah di Universiti Sains Malaysia dahulu. Teringat kepada gaya penyampaian tersendiri Prof Madya Abdul Rahman Ismail, Prof. Michael Vickery, K. Anbalakan dan Prof. Abu Talib. Terimbau kepada bacaan sejarah zaman Mesopotamia,Mesir Purba,Yunani,Rom,China,India dan Eropah. Begitu juga tersentuh hati menelusuri perjalanan hebat empayar Kesultanan Melayu Melaka. Terpesona dengan kelibat tokoh Sultan Alauddin Riayat Syah dan Tun Perak.
Begitulah sejarah. Apabila berlaku suatu peristiwa yang besar dan hebat serta melibatkan tragedi,baru terasa hidup sebagai manusia hendak turut serba tahu dan campur tangan. Sedangkan sepatutnya setiap hari yang berlalu adalah sejarah. Apa sahaja yang kita lakukan ,sama ada yang besar atau kecil pasti menyumbang kepada berlakunya sesuatu- baik atau buruk kepada generasi akan datang. Perkara yang kita nampak kecil sekarang mungkin menjadi suatu penyesalan yang amat sangat. Lebih buruk dari itu, generasi akan datang akan menyalahkan kita atas apa yang telah berlaku terhadap mereka. Lihatlah contoh yang paling jelas terhadap waris Tengku Husin yang menguasai empayar Johor-Riau tetapi kini cukup bergelut untuk mempertahankan Istana Kampung Gelam di Singapura. Pada saya Kesultanan Melayu Melaka cukup hebat dan ampuh,namun akhirnya jatuh juga. Apabila berlaku perpecahan ,juga ketaksuban Sultan Mahmud Syah terhadap wanita hinggakan Puteri Gunung Ledang pun mahu dipinang,urusan pentadbiran negara pasti hancur. Dan apabila mengikut kehendak nafsu, kezaliman akan menurut. Tidak mengapa jika rakyat yang menderita. Lihatlah kesanggupan Sultan Mahmud Syah yang rela rakyatnya untuk dikerah membina jambatan emas dan perak .Juga rela dikumpul beberapa tempayan air mata manusia yang realitinya bukan sesuatu yang mudah untuk kita kumpul air mata kita walau setimba pun. Tetapi,apabila syarat berkehendakkan hanya semangkuk darah Sultan Mahmud dan anaknya Raja Ahmad,baru diketepikan keinginan baginda untuk memiliki Puteri Gunung Ledang.
Begitulah yang jadi kepada Leila di Tunisia. Hosni Mubarak pun rasanya pasti menunggu masa. Manusia yang selamanya tertindas dan dikenali sebagai pengecut lagi penakut ,apabila sudah hilang rasa pengecutnya akan menjadi manusia yang pemberani.
Sesungguhnya,sejarah itu cukup menarik untuk dijadikan iktibar hidup setiap saat yang bernafas. Moga selepas ini,kita tidak lalai dan alpa terhadap tarikan dunia yang serba laju sekarang,perlu terus membaca sejarah yang lalu untuk membentuk sejarah yang akan datang.