doa

doa
amalan hidup

06 Februari 2011

Sasterawan Negara Yang Paling Saya Minati: Arena Wati

Inilah penulis carta pertama pilihan saya. Sasterawan Negara Arena Wati. Boleh dikatakan hampir semua karya beliau ada dalam simpanan saya. Kalau berkesempatan,ingin sahaja saya menulis apa-apa sahaja berkaitan Pak Arena dalam blog ini. Saya bersama-sama sahabat baik saya,Azizi Ibrahim cukup meminati hasil karya beliau. Sepanjang minggu lepas,sempena cuti panjang sedikit sempena Tahun Baru Cina,saya sempat membaca novel "Panrita" dan antologi cerpen "Getar-Getir Maya". Sudah sekian kalinya saya mengulangi membaca karya beliau. Pada pandangan saya,sesuatu yang merugikan bagi pembaca Bahasa Melayu sekiranya tidak menikmati karya beliau.

Saya mula menikmati karya Pak Arena semasa bersekolah menengah di SMK Tengku Menteri (1986-1990)(Tingkatan 1-5). Rasanya semasa tingkatan 2,saya terpaut. Novelnya ialah novel "Rontok" . Kemudian semasa di tingkatan 5,novel "Royan" pula dijamah. Semasa mula baca pada awal tahun tingkatan 2,saya ingatkan penulis adalah seorang wanita.Kemudian,baru tahu siapa Arena Wati sebenarnya. Ini kerana pada tahun 1987 atau 1988,saya melihat Arena Wati diwawancara di kaca televisyen,Tidak ingat saya sama ada dalam "Selamat Pagi Malaysia" di RTM1 atau di "Malaysia Hari Ini" di TV3. Yang pentingnya,saya terpaku di hadapan tv pagi itu. Pada pagi itu,Pak Arena memperkenalkan 3 novel buah tangan terbaru beliau iaitu novel "Sakura Mengorak Kelopak","Kuntum Tulip Biru " dan "Bunga Dari Kuburan".Semasa di Universiti Sains Malaysia baru saya berkesempatan membaca trilogi novel ini.

Semasa Tingakatan 6 di SMK Dr. Burhanuddin,semakin bertambah keinginan untuk menikmati karya Pak Arena seterusnya. Ini berikutan saya dan Azizi mendapat hadiah akademik untuk pelajar terbaik bagi peperiksaan tingkatan enam rendah. Hadiahnya? Novel terbaru Pak Arena yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu novel "Citra".Fuhhh...memang menarik dan tertarik novel ini. Novel ini pernah dijadikan drama oleh pengarah Anwardi Jamil. Saya rasa sudah lebih 10 kali saya membaca "Citra". Cukup dramatik.Perjuangan orang Melayu Serkat, warna-warni watak Ucok dan Sari Bulan.

Selepas peristiwa "Citra",saya terus memburu karya Pak Arena. Sekarang, ulang baca mana-mana yang hendak dibaca.Kini,saya mencari novel "Rontok" dan "Royan" untuk disimpan dalam perpustakan kecil saya.
Kesempatan terbuka luas apabila saya menuntut di USM ,Pulau Pinang pada 1993. Di sinilah, saya puas dengan karya beliau. Saya dapat membeli novel "Sandera" dengan potongan harga 70 peratus di kedai buku koperatif. Saya dapat memiliki novel "Eno" ,"Sarida", dan "Lingkaran" di pasar Chowrasta,tempat menjual buku-buku terpakai.

Apabila saya mula bekerja mulai bulan Jun 1998,langkah dan kesempatan menjadi lebih panjang. Lebih banyak karya beliau berjaya dimiliki.

Buku beliau yang paling saya minati ialah "Enda Gulingku","Meniti Kala", "Begawan", "Sukma Angin", Trilogi Busa ,Trilogi Armageddon, "Citra" dan "Sakura Mengorak Kelopak". Ini termasuk cerpen-cerpen beliau yang terkandung dalam antologi "Bara Batu", antologi "Burung Badai" dan antologi "Getar-Getir Maya".

2 ulasan:

  1. dulu kat sekolah sempat baca citra dan sakura mengorak kelopak.mmg best

    BalasPadam
  2. baca "Enda Gulingku" dan "Meniti Kala" serta "Sukma Angin" ,lagi rasa puas

    BalasPadam