doa

doa
amalan hidup

22 Februari 2011

Cuba memahami tafsiran bakhil dan boros dalam Tafsir Al-Azhar karangan Prof. Dr. Hamka


Selain SN Arena Wati,SN Abdullah Hussein,SN Shahnon Ahmad ,saya cukup terkesan dengan gaya bahasa dan penyampaian Pak Hamka.Ingat lagi novel pertama beliau yang saya baca iaitu novel "Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck". Cukup mengharukan dan lebih dramatik dari filem Titanic.Nanti ,pada lain kesempatan akan saya paparkan kutipan fragmen menarik dalam novel ini. Begitu juga novel "Di Bawah Lindungan Kaabah" beliau yang menyorot cinta pada sukma manusia. Dan ,mesti baca juga antologi cerpen "Dalam Lembah Kehidupan". Dan tidak cukup dengan itu,jika anda tidak membaca buku " Falsafah Hidup","Lembaga Budi" dan novel autobiografi "Kenang-Kenangan Hidup".

Sehingga kini,setiap minggu pasti akan saya baca karya Pak Hamka. Sudah tentu karya hebat beliau iaitu Tafsir Al-Azhar. Pada kesempatan ini, ingin saya kutip pandangan beliau berkaitan soal bakhil da boros yang ada disinggung beliau dalam surah al-Isra' ayat 26-30. Melalui ayat 27 surah al-Isra' inilah selalu kita dilaungkan dengan perbuatan orang yang pemboros adalah saudara syaitan.

Prof . Hamka memilih kata boros sebagai erti dari kalimat "mubazzir". Dicatatkan pengertian yang dikemukakan oleh ulama yang tersohor. Imam Syafie mengatakan mubazzir ialah membelanjakan harta tidak pada jalannya. Imam Malik pula berkata mubazzir ialah mengambil harta dari jalannya yang pantas tetapi mengeluarkannya dengan jalan yang tak pantas.Mujahid pula berkata :" Walaupun seluruh hartanya dihabiskan untuk jalan yang benar,tidaklah dia mubazzir.Tetapi walaupun hanya segantang padi dikeluarkannya,padaha tidak pada jalan yang benar,itu sudah mubazzir". Hamka turut menunjukkan contoh pengajaran yang diberikan oleh ayahanda beliau berkaitan membazir atau boros ini. Ayah beliau memberi peringatan supaya menanak nasi secukupnya bagi orang yang akan makan.Jangan sampai berlebih yang akan menyebabkan basi dan terbuang.Kalau nasi itu berlebih tetapi tidak basi dan kita sudah kenyang,kita harus memberikannya kepada orang yang memerlukan.Tetapi kalau nasi sudah basi,nescaya terpaksa dibuangkan. Timbul nasi basi kerana ditanak terlalu banyak. Itu ditegur oleh ayah beliau dan dimarahi sebab membazir. Ya Allah. Lihatlah kurniaan Allah kepada para ulamak ini. Mereka betul-betul memahami dan peka terhadap perbuatan yang betul dan salah. Betapa penulis sendiri berani mengakui bahawa sudah banyak perbuatan membazir yang telah dilakukan sepanjang hidup. Makanan memang selalu.Pergi ke pasar malam,angkut dan beli sahaja. Kemudian terbuang akibat tidak habis dimakan. Itu belum lagi wang yang diperolehi dihabiskan begitu sahaja. Sungguh.Tepatlah kata-kata Imam Syafie,semakin manusia faham sesuatu,semakin kita merasakan diri kita terlalu kerdil dan Allah sahaja yang Maha Hebat dan Sempurna.

Berkaitan sikap boros dan bakhil,kedua-dua perbuatan ini tidak disukai Allah dan akan mendapat kecelakaan dan tercela hidup. Kata Hamka,orang yang bakhil akan tercela dalam pergaulan hidupnya sebab dengan tidak disedarinya dia telah diperhamba oleh hartanya itu. Mau dia berkerat rotan denan kaum keluarganya kerana cintanya akan hartanya itu. Sedang orang yang boros dan mencurah-curahkan harta ,akhir kelaknya akan menyesal sendiri bilamana hartabenda itu telah punah dan licin tandas kerana keluarnya tidak berperhitungan.
Betapa tepat dan betulnya Hamka.

Tinggal kini,kita sebagai manusia yang sudah mengetahui,perlu melakukan apa yang difahami dengan sepenuh bulat kepercayaan kerana Allah semata-mata. Jika tidak,kita tidak ubah seperti keldai yang membawa beban kitab atau buku yang penuh dengan ilmu pengetahuan tapi tidak mengambil sepenuh manfaat daripada buku dan kitab tersebut. Malang sungguh.

Ya Allah,mudahkanlah kami untuk memahami kebaikan dan mudahkan kami untuk melakukan kebaikan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan