doa

doa
amalan hidup

13 Februari 2011

Perjalanan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain

Gambar di atas ialah gambar Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang tiba-tiba menjadi tumpuan umum akibat kontroversi novel "Interlok". Saya cukup menghormati SN ini. Malah cukup meminati karya beliau. Beliau,SN Anwar Ridhwan,Prof Dr. Hamka adalah penulis yang seiring yang saya minati selepas SN Arena Wati.

Bagi saya sendiri,novel "Interlok" bukan mahakarya beliau. Ada banyak lagi karya beliau yang patut kita baca dan telaah. Novel "Imam" yang memenangi pertandingan yang dianjurkan oleh Utusan lebih besar dan baik dari Interlok. Saya sendiri lebih teruja untuk berbicara novel autobiografi beliau iaitu " Sebuah Perjalanan", "Perjalanan Mencari Bahasa", "Perjalanan Mencari Diri" dan "Perjalanan Mencari Hikmah". Bacalah keempat-empat novel ini, pasti akan timbul rasa kagum,hormat yang tulus terhadap beliau. Lihatlah jasa dan sumbangan beliau terhadap Malaysia dan juga Indonesia. Lihat peranan beliau sebagai Ahi Cipta di Universiti Sains Malaysia,Pulau Pinang,lihatlah peranan beliau di Brunei semasa bertugas dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Lihatlah persahabatan tulus beliau dengan Seniman Agung P. Ramlee sehingga menghasilkan majalah hiburan tersohor "Gelanggang Filem". Lihatlah sumbangan beliau terhadap Acheh. Pada saya ,manusia yang waras apabila selesai membaca kisah hidup beliau dalam novel-novel ini pasti tidak akan memaki hamun dan membakar gambar beliau. Hari Sabtu dan Ahad baru-baru ini saya mula kembali membaca novel "Sebuah Perjalanan". Terasa cukup nikmat. Saran saya,bacalah keempat-empat novel perjalanan beliau. Saya akan cuba menghabiskan 4 novel ini sehingga akhir bulan Februari.Cukup seronok membaca dengan gaya penceritaan yang beliau kemukakan. Penceritaan bersifat jujur cukup mengujakan. Cerita zaman kanak-kanak beliau cukup menghiburkan. Kisah dirotan semasa mengaji Al-Quran kerana rasa mengantuk mengimbau kenangan saya semasa mengaji Al-Quran di kampung pada tahun 1980-an dulu. Sesungguhnya,saya amat terhibur dengan 4 novel perjalanan beliau ini. Pengajarannya kepada saya, kita mesti melakukan yang terbaik terhadap perjalanan hidup kita yang penuh warna-warni ini. Kitalah yang akan mencorakkannya.

Cukup dahulu setakat ini. Lain kali saya ingin bercerita tentang cerpen-cerpen beliau iaitu  siri cerpen "Pertemuan" beliau yang cukup manusiawi dan cerpen beliau yang melucukan tetapi amat menginsafkan mengenai kehidupan yang terdesak menyebabkan manusia sanggup melakukan apa-apa sahaja seperti yang terlukis dalam cerpen "Baboon".

Nasihat saya, cari 4 buah novel perjalanan beliau dan siri cerpen pertemuan beliau. Selepas itu,pasti kita sebagai manusia akan menghormati Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain pada tempat yang paling wajar. Terima kasih untuk SN Abdullah Hussain yang mendewasakan saya.

3 ulasan: