doa

doa
amalan hidup

05 Februari 2011

kembara sejarah :peristiwa berulang pelaku berbeza

Mengikuti peristiwa jatuhnya Presiden Tunisia ,Ben-Ali dan bersemaraknya protes supaya Hosni Mubarak meletak jawatan sebagai Presiden Mesir, terasa terbayang-bayang segala peristiwa sejarah yang saya belajar dalam kuliah di Universiti Sains Malaysia dahulu. Teringat kepada gaya penyampaian tersendiri Prof Madya Abdul Rahman Ismail, Prof. Michael Vickery, K. Anbalakan dan Prof. Abu Talib. Terimbau kepada bacaan sejarah zaman Mesopotamia,Mesir Purba,Yunani,Rom,China,India dan Eropah. Begitu juga tersentuh hati menelusuri perjalanan hebat empayar Kesultanan Melayu Melaka. Terpesona dengan kelibat tokoh Sultan Alauddin Riayat Syah dan Tun Perak.
Begitulah sejarah. Apabila berlaku suatu peristiwa yang besar dan hebat serta melibatkan tragedi,baru terasa hidup sebagai manusia hendak turut serba tahu dan campur tangan. Sedangkan sepatutnya setiap hari yang berlalu adalah sejarah. Apa sahaja yang kita lakukan ,sama ada yang besar atau kecil pasti menyumbang kepada berlakunya sesuatu- baik atau buruk kepada generasi akan datang. Perkara yang kita nampak kecil sekarang mungkin menjadi suatu penyesalan yang amat sangat. Lebih buruk dari itu, generasi akan datang akan menyalahkan kita atas apa yang telah berlaku terhadap mereka. Lihatlah contoh yang paling jelas terhadap waris Tengku Husin yang menguasai empayar Johor-Riau tetapi kini cukup bergelut untuk mempertahankan Istana Kampung Gelam di Singapura. Pada saya Kesultanan Melayu Melaka cukup hebat dan ampuh,namun akhirnya jatuh juga. Apabila berlaku perpecahan ,juga ketaksuban Sultan Mahmud Syah terhadap wanita hinggakan Puteri Gunung Ledang pun mahu dipinang,urusan pentadbiran negara pasti hancur. Dan apabila mengikut kehendak nafsu, kezaliman akan menurut. Tidak mengapa jika rakyat yang menderita. Lihatlah kesanggupan Sultan Mahmud Syah yang rela rakyatnya untuk dikerah membina jambatan emas dan perak .Juga rela dikumpul beberapa tempayan air mata manusia yang realitinya bukan sesuatu yang mudah untuk kita kumpul air mata kita walau setimba pun. Tetapi,apabila syarat berkehendakkan hanya semangkuk darah Sultan Mahmud dan anaknya Raja Ahmad,baru diketepikan keinginan baginda untuk memiliki Puteri Gunung Ledang.
Begitulah yang jadi kepada Leila di Tunisia. Hosni Mubarak pun rasanya pasti menunggu masa. Manusia yang selamanya tertindas dan dikenali sebagai pengecut lagi penakut ,apabila sudah hilang rasa pengecutnya akan menjadi manusia yang pemberani.
Sesungguhnya,sejarah itu cukup menarik untuk dijadikan iktibar hidup setiap saat yang bernafas. Moga selepas ini,kita tidak lalai dan alpa terhadap tarikan dunia yang serba laju sekarang,perlu terus membaca sejarah yang lalu untuk membentuk sejarah yang akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan