doa

doa
amalan hidup

22 Februari 2011

Mengenang dan Menghargai 3 Orang Guru Sejarah Yang Cukup Banyak Menimbulkan Minat Cintakan Sejarah

Saya cukup meminati sejarah. Tak tahu mengapa? Cukup rasa teruja dan menyeronokkan. Berilah apa-apa sahaja yang berkaitan dengan sejarah.Baik filem mahupun buku. Sebab itu pada tahun lepas,saya cukup berpuas hati dapat menonton banyak filem yang berunsur sejarah. Salah satunya ialah filem terbaik kantonis Hong Kong yang bertajuk "The Bodyguards And Assassins" . Filem ini diterajui oleh Donnie Yen,Leon Lai dan Nicholas Tse. Ia mengisahkan usaha rakyat biasa yang berkorban nyawa memastikan nyawa pemimpin mereka Dr. Sun Yat Sen terus bernafas dari dibunuh pembunuh-pembunuh upahan.Cukup hebat dan menarik filem ini. Atas dasar itu,filem ini menang filem terbaik.Sebab itu antara tahun 2001-2006,saya sering mempertontonkan kepada pelajar saya flem-filem berunsur sejarah yang menarik dan juga filem-filem yang diangkat dari kisah benar.Salah satunya ialah filem "Remember The Titans". Filem ini diterajui pelakon pemenang Academy iaitu Denzel Washington. Filem ini memaparkan bagaimana sukan american football berjaya menyatu secara kuat dan erat antara orang kulit putih dan negro sehingga kolej universiti mereka berjaya secara luar biasa dalam permainan american football. Seusai tayangan, pelajar memberitahu mereka cukup rasa terdorong untuk melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh demi mencapai kegemilangan yang diidam-idamkan.

Begitulah saya dengan sejarah. Pada kesempatan ini, ingin saya mengenang dan menghargai 3 orang guru wanita yang menimbulkan minat saya yang kuat terhadap sejarah. Terima kasih untuk cikgu bertiga ini. Cikgu Siti Aminah yang mengajar saya semasa di tingkatan 3,4 dan 5 di SMK Tengku Menteri,Changkat Jering. Cikgu Latifah Hanam binti Ibrahim yang mengajar Sejarah Islam semasa di tingkatan 6 di SMK Dato' Burhanuddin,Taiping.Cikgu Wan Khamsiah yang mengajar saya Sejarah Malaysia,Asia Tenggara dan Asia semasa di tingkatan 6 SMK Dr. Burhanuddin,Taiping. Cikgu Siti Aminah ,sekarang ini,tidak diketahui lokasi beliau berada. Cikgu Wan Khamsiah telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2008. Cikgu Latifah Hanam kini menjadi pengetua di SMK Matang,Matang,Larut Matang dan Selama,Perak.

Sesungguhnya,ketiga-tiga guru ini cukup memberikan impak yang kuat kepada saya untuk cinta dan sayang memupuk kasih terhadap sejarah. Ketiga-tiganya mempunyai gaya yang berlainan semasa mengajar. Walaupun begitu,saya dapat menyerap dengan baik pelajaran yang mereka ajarkan. Buktinya,saya memperoleh gred A untuk peperiksaan SPM dan begitu juga prinsipal A untuk peperiksaan STPM. Masih tergambar dalam kotak fikiran gaya pengajaran ketiga-tiganya yang cukup berbeza tetapi masih memberikan impak yang kuat kepada saya sehingga timbul rasa cinta dan sayang yang akhirnya dapat memupuk kasih yang cukup erat terhadap sejarah.Cikgu Siti Aminah yang penuh gemalai dan lembut senyum semasa mengajar. Cikgu Wan Khamsiah dengan gaya bersyarah menyampaikan pengajaran.Cikgu Latifah Hanam dengan nota dan penerangan yang terancang dan sistematik beserta senyuman yang tidak lekang dari bibir.

Masih teringat reaksi dan kata-kata cikgu ini sepanjang saya menjadi murid mereka. Teringat reaksi Cikgu Siti Aminah yang terkejut apabila saya dapat menjawab soalan semasa tingkatan 3 iaitu bab 6,7,8 dan 9 sedangkan semasa itu sedang belajar bab 3. Teringat kata-kata dan saranan Cikgu Latifah Hanam yang menyuruh saya mengambil ijazah undang-undang di Universiti Malaya setelah keluar keputusan peperiksaan STPM. Terimbas kembali nasihat cikgu Wan Khamsiah yang menyuruh saya melakukan perkara yang berguna dan berjasa pada masa hadapan kelak.

Untuk kesekian kalinya,terima kasih yang tidak terhingga untuk Cikgu Siti Aminah,Cikgu Wan Khamsiah dan Cikgu Latifah Hanam kerana mendewasakan saya dengan pengajaran mereka. Alhamdulillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan